fbpx

Tak sempat solat subuh, warga emas maut dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jemaah masjid berkerumun di lokasi Lijah dilanggar kereta berhampiran Masjid Kampung Jeram, Manir, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas tidak sempat menunaikan solat subuh selepas dia maut dilanggar sebuah kereta sewaktu sedang melintas jalan menuju Masjid Kampung Jeram, Manir di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, mangsa, Lijah Ismail, 82, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, siasatan awal mendapati sewaktu kejadian wanita warga emas itu dikatakan sedang melintas jalan untuk ke masjid berkenaan.

“Sebuah kereta Proton Preve dipandu lelaki berusia 56 tahun yang sedang menuju ke Kampung Keboe Besar di sini gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah lalu meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, mayat Lijah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, pemandu kereta Proton Preve kemudiannya telah membuat laporan kemalangan itu di balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI