fbpx

Penduduk Kelantan tertinggi mati sakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Penduduk Kelantan mencatatkan kadar kematian tertinggi berpunca daripada masalah jantung atau penyakit jantung iskemik berdasarkan dapatan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi Penerbitan Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia 2023 yang diterbitkan hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Kelantan merekodkan peratusan kematian tertinggi bagi penyakit jantung iskemia iaitu sebanyak 23.3 peratus diikuti Perlis (23.1 peratus) dan Melaka (20 peratus).

“Sebanyak 206,525 kematian direkodkan pada 2022 yang mana 126,268 (61.1 peratus) adalah sebab kematian yang disahkan secara perubatan dan 80,257 (38.9 peratus) adalah sebab kematian yang tidak disahkan secara perubatan.

“Penyakit jantung iskemik adalah sebab kematian utama di Malaysia pada 2022 dengan 20,322 kematian atau 16.1 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.

“Penyakit jantung iskemik atau ischaemic heart diseases kekal sebagai sebab kematian utama sejak lebih dua dekad yang lalu kecuali pada 2021 di mana jangkitan virus Covid-19 menjadi sebab kematian utama,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 13,817 (18.2 peratus) kematian disebabkan oleh penyakit jantung iskemik adalah dalam kalangan lelaki, manakala sebab kematian utama bagi perempuan adalah Pneumonia (radang paru-paru) iaitu 7,201 (14.3 peratus).

Katanya, penyakit jantung iskemik merupakan sebab kematian utama bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia yang mana Melayu (17.3 peratus), Cina (14.7 peratus) dan India (21.1 peratus) kecuali Bumiputera Lain yang merekodkan Pneumonia (11.5 peratus) sebagai sebab kematian utama.

Sementara itu, jelas Mohd Uzir, Diabetes Mellitus lebih sinonim dengan kematian bagi etnik Melayu dan India, manakala masalah kanser adalah sebab kematian dalam kalangan etnik Cina.

“Amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat adalah antara penyumbang kepada kematian disebabkan penyakit jantung iskemik pada masa kini iaitu berlaku apabila saluran darah menjadi keras dan sempit disebabkan oleh plak kolesterol.

“Faktor risiko utama penyebab penyakit ini adalah termasuk merokok, paras kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes dan faktor usia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI