fbpx

Bumbung sekolah diterbangkan ribut, pelajar bergilir belajar dari rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN bangunan SMK Munshi Abdullah yang terjejas selepas dilanda ribut, kelmarin. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah di sini terpaksa melakukan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas bangunan sekolah itu rosak akibat kejadian ribut, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kaedah pembelajaran itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan melibatkan pelajar tingkatan satu sehingga empat.

“Kejadian ribut yang melanda SMK Munshi Abdullah kelmarin telah menyebabkan banyak kerosakan kecil di beberapa blok, bangunan utama sekolah pula didapati terjejas teruk dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melakukan penilaian serta pembaikan.

“Susulan itu pelajar tingkatan satu, dua, tiga dan empat akan meneruskan pembelajaran PdPR, sesi pembelajaran berjalan seperti biasa (bersemuka) bagi tingkatan 5 dan 6,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, kaedah pembelajaran itu bagaimanapun dilakukan secara penggiliran dan keberkesanan langkah tersebut akan diteliti.

“Untuk minggu ini yang hadir bersemuka pelajar tingkatan empat, lima dan enam. Tingkatan satu, dua tiga dari rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut hadir membuat lawatan ke sekolah berkenaan hari ini.

Beliau memberitahu, Kementerian Pendidikan telahpun menyalurkan bantuan segera berjumlah RM100,000 bagi kerja-kerja pembersihan.

“Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap bencana ribut yang menimpa sekolah ini yang mempunyai jumlah pelajar teramai di Melaka iaitu kira kira-kira 2,000 orang.

“Saya dimaklumkan oleh JKR proses baik pulih mengambil masa selama enam bulan melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan dianggarkan RM3 juta,” katanya.

Kelmarin Kosmo! melaporkan kejadian ribut yang melanda negeri ini telah menyebabkan beberapa kenderaan di kawasan Batu Berendam musnah ditimpa pokok tumbang, manakala bumbung bangunan SMK Munshi Abdullah turut diterbangkan angin kencang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI