fbpx

Polis kesan pemilik kereta e-hailing terlibat langgar lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kereta e-hailing yang kini sedang dicari identiti pemiliknya oleh pihak polis.

SEPANG – Polis kini sedang mengesan identiti sebenar pemandu sebuah kereta e-hailing yang terbabit dalam kejadian langgar lari di Jalan Dengkil – Bangi Lama menghala ke Kajang, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 7.52 pagi itu, sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang tertera logo syarikat e-hailing dikatakan merempuh sebuah kereta lain sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal juga mendapati, kereta itu dinaiki dua lelaki warga tempatan berdasarkan kenyataan saksi.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan suspek iaitu pemandu kereta berkenaan menerusi semakan nombor pendaftaran kereta dengan syarikat e-hailing.

“Buat masa ini, semakan itu tidak dapat dilakukan kerana pejabat syarikat berkenaan tidak buka kerana cuti hujung minggu.

“Kami juga tidak dapat sahkan sama ada pemandu kereta itu pemandu e-hailing berdaftar atau mungkin kereta itu disewa oleh dua lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sebelum ini, sebuah video tular di aplikasi TikTok memaparkan sebuah kereta e-hailing jenis Perodua Bezza berhenti di tepi jalan selepas melanggar sebuah kereta.

Menerusi video sama, dua lelaki dalam kereta itu dilihat berada dalam keadaan tertidur selepas memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum didekati pengguna jalan raya lain.

Bagaimanapun, sebaik tersedar daripada tidur, pemandu kereta berkenaan bertindak memecut melarikan diri dengan kenderaan sama.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI