fbpx

Lapangan terbang di Seri Iskandar masih jauh untuk direalisasikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke.

IPOH – Cadangan membina lapangan terbang baharu di Seri Iskandar, Perak Tengah masih jauh untuk direalisasikan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana pembinaan satu lapangan terbang baru bukan mudah kerana memerlukan proses yang rumit dan panjang.

“Jika tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), tidak boleh memulakan proses itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP Perak kali ke-22 di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Perak mengharapkan kerajaan Pusat bersetuju terhadap cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Seri Iskandar terletak di kawasan Perak Tengah, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Lapangan tersebut dilihat mampu memenuhi keperluan negeri untuk bersedia menerima limpahan pelaburan terutama Bandar Perindustrian Ma­ritim Lumut (LuMIC) yang berpotensi mencipta pelaburan sehingga RM72 bilion bagi tempoh 25 tahun akan datang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihak negeri sudah ada tanah yang sesuai untuk dibangunkan lapangan terbang tersebut.

Katanya, cadangan itu masih tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Sementara itu, Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan telah menerima cadangan daripada kerajaan Perak untuk menaik taraf terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini kepada lebih moden menerusi pelaburan syarikat swasta.

Katanya, perkara itu akan diberi perhatian khusus agar dapat dilaksanakan memandangkan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) sendiri sudah menyatakan untuk berhasrat untuk membangunkan lapangan terbang berkenaan menggunakan modal sendiri.

“Sebab itu saya katakan apabila ada niat dan juga hasrat daripada syarikat swasta, kita perlu lihatlah bagaimana usahasama dengan pihak MAHB boleh dilaksanakan tanpa memberikan kesan negatif kepada MAHB,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI