fbpx

Keadilan buat Najib terus dituntut, mohon dapat perbicaraan adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketiga-tiga anak Najib terus menuntut keadilan agar bekas Perdana Menteri itu mendapat perbicaraan adil di mahkamah. - Foto TEAM NAJIB RAZAK

PUTRAJAYA – Keadilan buat Datuk Seri Najib Tun Razak terus dituntut penyokongnya agar bekas Perdana Menteri itu mendapat perbicaraan adil oleh pihak mahkamah selain diberikan ruang membela diri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Antara yang turut memperjuangkan keadilan terhadap bekas Presiden UMNO itu ialah ketiga-tiga anak Najib iaitu Datuk Mohd. Nizar, Datuk Mohd. Nazifuddin dan Nooryana Najwa yang berkongsi pentas dalam program Demi Najib, We Stand By You.

Menurut Mohd. Nizar, beliau memohon agar Najib menerima perbicaraan adil, seterusnya membolehkan ayahnya mendapatkan pembelaan sewajarnya.

“Najib dibiarkan tidak diwakili oleh mana-mana peguam dalam rayuan akhir dan ini disifatkan sebagai tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

“Keadaan itu bercanggah dengan hak termaktub dalam Perlembagaan Malaysia di mana tertuduh sepatutnya diberikan ruang sepenuhnya untuk membela diri, tetapi ia tidak berlaku dalam kes Najib,” katanya pada program itu yang dihoskan pegawai khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi.

Mengulas lanjut, Mohd. Nizar turut berpendapat agar sistem kehakiman negara perlu diperbaiki bagi mengelakkan individu lain menerima nasib sama seperti ayahnya.

“Saya menyeru dan merayu kepada Kerajaan Perpaduan agar perbetulkan sistem kehakiman kita.

“Kita tidak mahu mangsa-mangsa lain akan didakwa (walaupun) mereka tidak bersalah.

“Ya, tak kisahlah mantan Perdana Menteri ataupun rakyat Malaysia yang lain, kalau kita tidak betulkan sekarang, ada yang akan jadi mangsa di masa hadapan,” rayunya.

Sebelum ini, Najib dikenakan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International.

Beliau masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI