fbpx

Bekas pengurus bunuh kekasih tikam 28 kali dijel 30 tahun, 12 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail Sobri ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2021.

PUTRAJAYA – Seorang bekas pengurus syarikat pembinaan yang membunuh kekasihnya wanita warga Indonesia dengan 28 tikaman, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman itu kepada penjara 30 tahun dan 12 sebatan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas menolak rayuan Sobri Abdul Wahab, 46, selaku perayu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan itu.

Dalam pindaan yang telah dibuat ke atas Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun ke atas pesalah jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pesalah lelaki juga hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Dalam penghakiman ringkas ketika membaca keputusan itu, Hakim Hadhariah berkata, Mahkamah Tinggi sebelum ini tidak terkhilaf dalam mensabitkan kesalahan terhadap Sobri dan sabitan terhadap perayu adalah selamat.

“Rayuan perayu (Sobri) tiada merit dan alasan ketidakwarasan perayu ketika kejadian tidak dapat dibuktikan. Sabitan bersalah dikekalkan, namun hukuman gantung sampai mati digantikan dengan penjara 30 tahun dan 12 sebatan,” kata Hakim Hadhariah.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Terdahulu, peguam Sobri, K.A Ramu dalam hujahan ringkas, berkata anak guamnya itu tidak waras dan tidak mengambil ubat ketika kejadian.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee, membantah lelaki itu tidak waras apabila bertindak membunuh kekasihnya itu.

“Perayu berkelakuan biasa dan waras mengikut aspek perubatan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Sobri didakwa membunuh seorang perempuan warga Indonesia, Gusnima, 38, di sebuah apartmen di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 6 petang hingga 8 malam, pada 10 Mac 2018.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Pada 31 Disember 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Sobri selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, dapatan Mahkamah Tinggi menyatakan terdapat empat elemen perlu dibuktikan iaitu berlaku kematian dengan kematian disebabkan kecederaan, kematian disebabkan tertuduh dan dilakukan dengan niat.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Gusnima yang juga pembantu kantin sekolah ditemui mati dibunuh dengan 28 tikaman selepas terlalu mendesak kekasihnya berkahwin dengannya dalam kejadian di sebuah apartmen di Bukit Jelutong, 10 Mac 2018.

Dalam kejadian pukul 8.25 malam itu,mangsa yang berasal dari Medan, Indonesia mempunyai kesan tikaman iaitu 14 di leher, lima di belakang badan, empat di perut, tiga di rusuk kiri dan dua lagi di tengkuk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI