Sanggup beratur panjang untuk menunggu meja kosong di restoran, kafe dan kedai makan tular, namun apabila sudah menikmati hidangan, rupa-rupanya biasa-biasa sahaja.
Selalunya apabila tular di media sosial, memang ramai akan menyerbu kedai makan itu, malah ada yang sanggup dari datang jauh untuk mencuba keenakan makanan seperti diwar-warkan.
Pengulas makanan yang datang membuat review sama ada berbayar atau percuma pula puji melambung dengan menjanjikan keenakan makanan kepada pengikut di media sosial.
Kedai makan sedang ‘trending’, pengusaha tersenyum lebar apabila melihat kehadiran begitu ramai pelanggan setiap hari sehingga tidak cukup tempat duduk.
Bagaimanapun, benar kata orang, yang tular-tular ini biasanya bermusim dan hanya boleh bertahan sekejap terutama jika kedai makan itu mengharapkan populariti semata-mata.
Antara punca kedai makan tular bertukar menjadi ‘sendu’ apabila pengusahanya tidak menjaga kualiti masakan dan kesedapan makanan secara konsisten.
Sebelum terkenal mereka menjaga semua itu, namun apabila sudah popular dan pelanggan terlalu ramai, kualiti sudah ke laut.
Apabila rasa dan kualiti tidak seperti ditularkan di media sosial, malah jauh lebih menyimpang, maka itulah jadinya, sekali sahaja orang akan datang.
Jika pelanggan tegur, ada peniaga buat pekak telinga, malah tidak kisah sekiranya pelanggan tidak datang semula kerana ramai lagi yang mahu makan di kedainya. Konsep pelanggan sentiasa betul tidak lagi menjadi amalan.
Setelah perniagaan merosot dan pelanggan semakin kurang, mulalah peniaga acah-acah buat sedih di media sosial bagi meraih simpati.
Pelanggan tidak pandang sangat harga jika makanan yang dijual sememangnya sedap dan menarik. Hidangan yang dijual perlu setanding dengan harga ditawarkan.
Sebab itu banyak kedai atau restoran yang tidak tular pun masih boleh bertahan sampai sekarang kerana masakan betul-betul ‘power’ dan sedap, ditambah pula harga berpatutan.
Peniaga sememangnya perlukan pelanggan setia yang akan datang semula ke kedai. Tular macam mana pun jika tiada perkara ini, memang sukar untuk bertahan dalam ekonomi yang serba mencabar ini.
Tambahan pula, ramai orang kini hanya mampu makan di luar dua kali sebulan berbanding dahulu seminggu dua kali ekoran langkah berjimat cermat ekoran kenaikan kos sara hidup.














