fbpx

Sorok syabu, kokain 511.9 kilogram dalam kontena bawang dari Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Kamarudin ketika menunjukkan kokain serta syabu yang dirampas selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

KAJANG – Bawa masuk syabu dan kokain seberat 511.9 kilogram bernilai RM33.73 juta yang disembunyikan di dalam kontena bawang diimport daripada Pakistan.

Kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa ini tumpas ketika diserbu sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kelmarin.

Serbuan yang dibuat bermula pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan ketika ahli sindiket sedang memunggah karung berisi bawang serta dadah di sebuah premis di Jalan Perindustrian Fimas, di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya menjalankan tiga serbuan di sekitar Selangor dan Kuala lumpur bagi menumpaskan sindiket berkenaan.

Kata beliau, hasil serbuan tersebut berjaya memberkas enam lelaki terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang warga Sri Lanka yang berusia lingkungan 21 tahun hingga 53 tahun.

“Dalam operasi ini, PDRM berjaya merampas 411.172 kilogram (kg) syabu dan 100.813 kg kokain yang dianggarkan bernilai RM33.73 juta.

“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 2.6 juta orang penagih dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin memaklumkan kontena berisi dadah serta bawang itu diseludup dari Pakistan menerusi jalan laut untuk diedarkan bagi pasaran tempatan khusus di Lembah Klang.

“Kita (PDRM) ambil masa panjang kerana dadah diletakkan belakang kontena, dia campur dadah (bersama bawang). Kaedah ini digunakan untuk mengelirukan pihak berkuasa.

“Disebabkan jumlah dadah dibawa masuk ini melebihi 500 kg, kami percaya separuh daripada akan dihantar ke pasaran di negara luar dan selebih untuk pasaran tempatan,” katanya.

Tambah beliau, semakan kesemua suspek yang ditahan negatif dadah, namun lima daripadanya mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin hadapan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil keseluruhan rampasan termasuk aset milik sindiket seperti kereta, barang kemas dan wang ringgit dianggarkan bernilai sehingga RM34.11 juta,” katanya.

Kamarudin turut menegaskan pihaknya akan terus memburu baki ahli sindiket berkenaan dan akan membawa mereka ke muka pengadilan.

“JSJN berharap orang ramai akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di talian 012-208 7222,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI