fbpx

Penduduk terkejut nampak gajah setinggi garaj depan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk menunjukkan pokok kelapa yang dirosakkan gajah liar di Taman Perumahan MGH, Gua Musang semalam. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Suasana tenang di Taman Perumahan MGH di sini, tiba-tiba bertukar kelam kabut selepas seekor gajah liar menceroboh masuk kawasan penempatan penduduk tersebut dalam kejadian awal pagi semalam.

Kelibat gajah liar yang membawa buah kelapa itu turut dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) rumah penduduk kira-kira pukul 4.30 pagi.

Seorang penduduk, Muhamad Faez Azmi, 28, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur dan ter­sedar apabila mendengar bunyi kehadiran gajah di hadapan rumahnya.

“Saya melihat gajah setinggi garaj kenderaan berada di depan rumah dengan membawa sebiji buah kelapa.

“Saya sempat merakam video haiwan liar itu sebelum menghantarnya ke kumpulan WhatsApp perumahan kerana bimbang keselamatan penduduk lain yang akan ke masjid untuk menunaikan solat subuh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang penduduk, Ruzaini Bakar, 51, berkata, kejadian itu merupakan kejadian pertama kehadiran gajah liar di kawasan perumahan berkenaan sejak 20 tahun lalu.

Katanya, kemunculan gajah liar itu mengejutkan penduduk kerana Taman Perumahan MGH terletak di kawasan bandar Gua Musang.

“Kami sudah membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Anggota Perhilitan juga telah datang untuk meninjau sekitar kawasan perumahan kami.

“Penduduk bimbang sekiranya gajah itu datang semula dan berharap tindakan segera dapat diambil termasuk pemantauan daripada pihak berwajib supaya penduduk rasa lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada penduduk di perumahan terbabit mengenai kejadian tersebut.

Katanya, anggota Perhilitan telah bergerak ke lokasi kejadian untuk melakukan tinjauan dan menjejak kesan yang ditinggalkan haiwan tersebut.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI