fbpx

Tidak dapat bicara secara adil, tiga sahabat lepas hukuman mati bunuh lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga sahabat keluar dari Mahkamah Persekutuan selepas dilepas dan dibebaskan pertuduhan membunuh. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Tiga sahabat menangis di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini apabila dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan membunuh seorang lelaki tujuh tahun lalu yang mayatnya masih belum ditemui sehingga kini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan rayuan akhir ketiga-tiga perayu iaitu Mohd. Zulhiami Md Darus, 37, Siti Nor Asiah Abdul Wahab, 32, dan Muhammad Rahmat Nazarudin, 29, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mensabitkan mereka dengan hukuman gantung sampai mati.

“Perayu – perayu telah menimbulkan beberapa isu dan kami mendapati isu utama adalah samada perayu dinafikan hak akan satu perbicaraan yang adil.

“Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak dan meneliti alasan kehakiman serta rekod rayuan kami berpuas hati keseluruhan perbicaraan berlangsung dalam cara yang tidak menepati undang-undang. Hal ini memprejudiskan perayu-perayu mengakibatkan sabitan tidak selamat. Dengan itu kami membenarkan rayuan dan ketiga-tiga perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Tengku Maimun.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Pada asalnya, Mohd. Zulhiami dan Siti Nor Asiah didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat membunuh Mohammad Fairul Haqiemie, 21, (ketika kejadian) di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Yusof Shahbudin 3 Taman Sentosa Klang pukul 12.30 tengah malam dan 1 pagi pada 29 Ogos 2016.

Muhammad Rahmat turut didakwa membunuh Mohammad Fairul Haqiemie pada pukul 4 pagi, di lokasi dan hari sama.

Bagaimanapun selepas pertuduhan dipinda, Mohd. Zulhiami dan Siti Nor Asiah didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat untuk membunuh Mohammad Fairul Haqimmie, 21, pada tempat sama pukul 4 pagi pada 30 Ogos 2016.

Mohd. Zulhiami dan Siti Norsiah mereka dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Muhammad Rahmat pula didakwa membunuh Mohammad Fairul Haqimmie pada 4 pagi di lokasi dan hari sama yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam-peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Siti Nor Asiah, Kitson Foong mewakili Mohd. Zulhiami.

Peguam Fahri Azzat mewakili Muhammad Rahmat manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Mohd. Khaja dan Aida Khairuleen Azli mewakili pendakwaan selaku responden.

Terdahulu, pasukan pembelaan menghujahkan hakim bicara meminda butiran pertuduhan tanpa memaklumkan kepada peguam bela mahupun ketiga-tiga tertuduh menyebabkan tiga sahabat itu membela diri terhadap pertuduhan asal.

Kitson berhujah, pindaan itu hanya disedari oleh pihak pembelaan selepas meneliti rekod rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

“Hakim bicara sepatutnya memaklumkan bahawa butiran pertuduhan telah diubah dan anak guam membela diri terhadap pertuduhan pindaan, namun perkara tersebut tidak dilakukan.

“Kegagalan hakim bicara memaklumkan pindaan tersebut menafikan hak anak guam kami mendapat perbicaraan yang adil atau mengemukakan pembelaan alibi ketika membela diri,” hujah Kitson.

Sementara itu, Geethan Ram dan Fahri berhujah, kedua-dua mahkamah terdahulu gagal menimbang keterangan saksi pendakwaan ketujuh (SP7), Zairul Noraidi Shahidin yang disifatkan oleh pihak pembelaan sebagai rakan sejenayah kepada ketiga-tiga perayu.

Hujah peguam bela, SP7 iaitu saksi mata dan individu yang terakhir dilihat bersama-sama mangsa, merupakan individu yang tidak boleh dipercayai dan keterangan lelaki itu tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah.

Pada perbicaraan lalu, Zairul Noraidi ketika memberi keterangan jelas menyatakan dia nampak tertuduh ketiga (Muhammad Rahmat) memukul kuat kepala si mati dengan kayu hingga menyebabkan kayu berkenaan patah.

SP7 turut menyatakan, dia melihat mangsa rebah menggelupur dan nampak darah di lantai serta dinding akibat pukulan itu.

Keterangan SP7 turut menyatakan, dia melihat Siti Nor Asiah dan Muhammad Rahmat berbincang, malah Siti Nor Asiah mencadangkan mayat dibungkus dengan tilam. Muhammad Rahmat memberitahu saksi, dia memukul si mati atas upah duit yang ditawarkan Siti Nor Asiah.

Dalam pada itu, keterangan kes menyatakan, Mohammad Fairul merupakan teman lelaki baharu Siti Nor Asiah manakala saksi penting pendakwaan yang juga saksi mata kejadian adalah bekas teman lelaki wanita itu.

Pada 24 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap ketiga-tiga perayu (yang ketika itu sebagai tertuduh) selepas didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

Kemudian pada 14 April 2022 Mahkamah Rayuan di sini turut mengekalkan hukuman mati itu selepas panel-panel hakim yang mendengar rayuan tersebut sebulat suara menolak rayuan ketiga-tiga perayu.

Panel-panel berpendapat sabitan Hakim Mahkamah Tinggi adalah selamat berdasarkan keseluruhan keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI