fbpx

NRC jambatan penghubung antara penuntut IPT dan KPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah dan Mohamed Khaled melawat pameran selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di Kementerian Pendidikan Tinggi, baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) dilihat menjadi platform terbaik yang menghubungkan penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khususnya dalam mengutarakan isu yang dihadapi kumpulan berkenaan.

Dalam konteks ini, rata-rata penuntut menyambut baik sesi libat urus dijalankan NRC memandang­kan ia memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam menilai dasar pendidikan tinggi ne­gara agar seiring dengan pereda­ran masa kini.

Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan Presiden UNIKL Students Representative Council, Zulfikri Zulkifli berkata, penubuhan NRC merupakan inisiatif yang disambut baik golongan penuntut IPT berikutan maklum balas kelompok itu turut diberi keutamaan.

Zulfikri

“Sesuatu dasar yang bakal diwujudkan kerajaan akan memberi impak kepada pelajar. Jadi maklum balas golongan ini penting untuk NRC menjalankan langkah transformasi seterusnya.

“Komunikasi dua hala antara pelajar dan kerajaan diperlukan untuk bersama-sama menilai semula dasar pendidikan tinggi sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

“Saya berpandangan sesi libat urus antara NRC dan pelajar perlu dilaksanakan secara tahunan ekoran perubahan masa berlaku secara pantas, membolehkan KPT melihat kepada kajian semula dasar bagi memenuhi keperluan semasa,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara, di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, KPT memberi peluang kepada orang ramai menilai cadangan kajian semula sektor pendidikan tinggi kebangsaan meliputi 58 isu cadangan penambahbaikan serta cadangan penyelesaian dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Fadillah menerima Laporan Akhir Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) daripada Mohamed Khaled.

Majlis Penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selain turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Moha­med Khaled Nordin dan Timbalan Menteri, Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Dalam pada itu, menerusi pelaksanaan Makmal Mini NRC pada Jun lalu yang menyenaraikan 58 syor penambahbaikan, NRC telah me­ngenal pasti lapan tumpuan dan tiga tema utama yang disifatkan bakal memberi perubahan segera kepada lanskap pendidikan tinggi negara.

Antaranya ialah pembiayaan berasaskan prestasi melibatkan pe­ngenalan mekanisme baharu pembiayaan, yang mana Universiti Awam (UA) terikat dengan kerajaan menerusi Perjanjian Tahap Per­khidmatan (SLA) untuk menghasilkan pelajar dan penyelidikan yang berkualiti tinggi.

Selain itu, NRC melihat kepada aspek pemerkasaan dana endowmen universiti dengan cadangan menghapuskan peraturan perbe­lanjaan tahunan sebanyak 50 peratus yang dikenakan terhadap endowmen dan dana wakaf.

Untuk memastikan kelestarian pendanaan pendidikan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), NRC mencadangkan pengenalan kaedah pembayaran balik pinjaman mengikut Income Contingent Loan (pembayaran berasaskan pendapatan) supaya tidak menjejaskan peminjam.

Fadillah diiringi Mohamed Khalid bermesra dengan penuntut IPT yang hadir pada Majlis Penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara.

Selain itu, KPT juga disarankan supaya memberi perhatian kepada pendigitalan dan kese­diaan teknologi dalam mendepani cabaran teknologi dalam pendidikan tinggi.

Mengulas lanjut me­ngenai tumpuan NRC kepada bidang TVET, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Pembinaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, keputusan itu bakal mengubah imej aliran itu, seterusnya meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan.

Wan Amsyar

Ujarnya, ia bakal meng­angkat martabat bidang TVET agar sei­ring dengan ali­ran utama lain seper­ti sains, sekali gus menarik minat lebih ramai pelajar menyam­bung pengajian di peringkat ter­tinggi.

“Ekosistem TVET kini sudah berubah dan tidak lagi dipandang sebagai alternatif, sebaliknya diangkat sebagai aliran pendidikan utama.

“Saya berharap antara pembaharuan bakal dibawa KPT ialah terus memainkan peranan bagi mengangkat imej TVET dengan memastikan penglibatan berte­rusan, khususnya di peringkat kementerian terlibat,” jelasnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI