fbpx

Nokia rugi, bakal buang pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setelah kurang berjaya di Amerika Utara, Nokia melebar sayap ke India, namun belum menunjukkan impak diharapkan. – Gambar hiasan

Syarikat telekomunikasi Finland, Nokia mengumumkan bahawa pihaknya akan segera mengurangkan sehingga 14,000 pekerja bagi mengurangkan kos pengurusan.

Hal ini kerana syarikat itu berdepan kerugian berikutan permintaan yang rendah untuk produk elektronik 5G keluarannya di Amerika Utara.

Pengumuman tersebut menambah siri pemberhentian dalam industri teknologi rentetan ‘ledakan penutupan’ semasa pandemik Covid-19.

“Kami melihat peningkatan impak ke atas perniagaan kami dari segi cabaran makroekonomi.

“Program penjimatan Nokia dijangka mengurangkan kakitangan sehingga 72,000 orang yang membawa pengurangan kos sehingga 1.2 bilion euro (RM5.43 bilion) menjelang 2026,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pekka Lundmark dalam satu kenyataan.

Tambahnya, program itu menyasarkan bidang perniagaan rangkaian mudah alih, perkhidmatan awam dan rangkaian serta fungsi korporat.

“Keputusan perniagaan yang paling sukar untuk dibuat ialah keputusan yang memberi kesan kepada kakitangan kami,” kata Lundmark.

Nokia melaporkan bahawa keuntungannya sekadar 133 juta euro (RM568.82 juta) pada suku ketiga tahun ini, penurunan 69 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.

Walaupun terdapat ketidaktentuan pada suku ketiga tahun ini, Nokia menjangkakan peningkatan dalam perniagaan rangkaian pada suku keempat.

Dalam persaingan rangkaian 5G dengan pesaing dari Sweden, Ericsson dan Huawei dari China, jualan Nokia turun 20 peratus kepada 4.98 bilion euro (RM25.07 bilion) pada suku ketiga 2023.

Nokia pernah berharap pelancaran produk 5Gnya di India akan mengimbangi kelembapan dalam perbelanjaan oleh pengendali telekomunikasi Amerika Utara tahun ini, bagaimanapun ia berdepan dengan kekecewaan.

“Kami melihat sedikit kesederhanaan dalam kadar penggunaan 5G di India, bermakna pertumbuhan di sana tidak lagi mencukupi untuk mengimbangi kelembapan di Amerika Utara.

“Teknologi mudah alih generasi kelima, 5G mempunyai potensi untuk membolehkan muat turun video sepantas kilat dengan inovasi seperti kenderaan berkelajuan tinggi.

“Namun, disebabkan kemelesetan ekonomi global, Nokia termasuk Ericsson juga telah melaporkan kelembapan dalam pelaburan oleh pengendali rangkaian mudah alih tahun ini,” kata Lundmark lagi.

Seperti kebanyakan firma teknologi, keuntungan Nokia mendapat rangsangan pascapandemik Covid-19 tetapi kini terpaksa membuang pekerja ekoran industri yang mengalami kelembapan.

Pengumuman Nokia itu juga susulan banyak pemberhentian kerja di seluruh sektor teknologi di dunia tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI