fbpx

Dewan Rakyat: Boleh buat tuntutan jika terbabit kemalangan di lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Para pengguna jalan raya boleh membuat tuntutan kepada syarikat konsesi jika terbabit kemalangan yang berpunca daripada halangan di infrastruktur terlibat.

Selain itu, tuntutan juga boleh dibuat jika pengguna terlibat kemalangan akibat kecuaian syarikat konsesi lebuh raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, tuntutan-tuntutan berkenaan boleh dibuat seperti yang termaktub dalam perjanjian.

Namun katanya, pengguna terlebih dahulu perlu membuktikan bahawa, kemalangan itu berpunca daripada kegagalan syarikat konsesi terlibat untuk melakukan tindakan segera terhadap masalah yang ada pada infrastruktur.

“Banyak kes syarikat konsesi buat bayaran akibat kecuaian mereka seperti lopak dan sebagainya. Mangsa boleh buat tuntutan jika kemalangan berlaku disebabkan keadaan jalan raya itu sendiri.

“Jika kemalangan akibat mengantuk dan kecuaian sendiri, kita akan siasat laporan dan tuntutan berkenaan kerana pembayaran tidak dibuat secara terus sejurus tuntutan dikemukakan.

“Justeru, pengguna boleh mendapatkan khidmat untuk membuat tuntutan jika berlaku kemalangan di lebuh raya,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) tentang jenis tuntutan yang boleh dibuat kepada syarikat konsesi melibatkan kemalangan di lebuh raya.

Terdahulu, berkenaan langkah yang dibuat bagi mengurangkan risiko kemalangan berpunca daripada objek atau halangan di lebuh raya, termasuk serpihan tayar lori, Abdul Rahman berkata, pelbagai usaha telah diambil.

Menurut beliau, serpihan tayar di lebuh raya berpunca daripada penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian serta mudah pecah dan tertanggal.

“Ia kebanyakannya digunakan lori bermuatan berat untuk perjalanan jauh.

“Syarikat konsesi sudah diarahkan buat rondaan kerap bagi memastikan tiada objek atau halangan di lebuh raya, termasuk serpihan tayar lori bagi keselamatan pengguna.

“Ia membabitkan pasukan ronda mengikut pusingan ditetapkan, selain pemantauan melalui sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu dan diselia pusat kawalan trafik konsesi yang beroperasi 24 jam.

“Operator di pusat kawalan trafik konsesi akan memaklumkan pasukan peronda lebuh raya untuk membuat kerja pembersihan segera jika terdapat objek atau serpihan tayar menghalang,” katanya.

Selain itu katanya, perbincangan berkala turut dibuat bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mmegatasi isu penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi piawaian, mudah pecah dan tertanggal.

“Syarikat konsesi juga secara berkala melakukan kerja penyelenggaraan dan pembersihan lebuh raya.

“Pengguna digalakkan untuk membuat aduan berkaitan halangan atau kerosakan lalu lintas dengan menghubungi talian hotline lebuh raya terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI