fbpx

Bercuti ke luar negara, pendakwaan bantah permohonan Muhyiddin dapatkan semula pasport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini mengemukakan bantahan terhadap permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan semula pasportnya yang kini ditahan oleh Mahkamah Sesyen di sini berikutan terdapat tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Asma Ahmad memaklumkan, pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit jawapan berhubung bantahan yang dikemukakan.

Sementara itu, peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin memberitahu, pihak pembelaan turut memohon satu tarikh baharu bagi membalas afidavit pihak pendakwaan.

Sehubungan itu, Hakim Azura Alwi menetapkan 23 November ini bagi pendengaran permohonan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi mendapat pelepasan sementara pasportnya.

Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan afidavit jawapan pihak pendakwaan difailkan sebelum 8 November manakala afidavit balasan pihak pembelaan difailkan sebelum atau pada 17 November.

“Saya turut menetapkan 21 November ini bagi kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis secara serentak,” kata hakim itu.

Hari ini mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Muhyiddin, 76, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan semula pasport bagi membolehkan beliau bercuti bersama keluarga di luar negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu yang masih berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan kira-kira RM200 juta, memfailkan permohonan pada Isnin lalu agar pasportnya dilepaskan tanpa syarat.

Dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonannya, Muhyiddin berkata, beliau kebiasaannya membawa keluarga bercuti selama sebulan setiap tahun.

Pemohon juga berkata, perancangan untuk bercuti tahun ini tidak terkecuali dan ingin membawa keluarganya ke London, United Kingdom (UK), pada akhir tahun.

Katanya, percutian itu penting bagi membolehkan masa diluangkan bersama mereka kerana beliau sekeluarga amat tertekan ekoran perkembangan yang berlaku tahun ini.

“Saya difahamkan daripada ejen pelancongan bahawa sukar untuk mendapatkan tiket penerbangan dan mengatur perjalanan percutian melibatkan jumlah yang ramai ke London terutama berdekatan dengan Krismas dan Tahun Baharu.

“Oleh demikian, langkah berjaga-jaga diambil untuk menempah tiket penerbangan bagi saya dan isteri terlebih dahulu sebelum ahli keluarga lain.

“Saya berharap mahkamah akan membenarkan pemohonan supaya boleh meluangkan masa dengan ahli keluarga dalam percutian tahunan,” katanya menerusi afidavit sokongan yang diikrarkan pada Isnin lalu.

Pada 2 Oktober lalu, Muhyiddin memohon beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga lagi tuduhan jenayah yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM200 juta.

Pengerusi PN itu membuat permohonan berkenaan dengan alasan bahawa beliau sudah dilepas dan dibebaskan untuk kesalahan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pertuduhan di Mahkamah Sesyen adalah tidak berasas kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh itu selepas membenarkan permohonan beliau untuk membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Selain itu, Muhyiddin menyatakan hasrat untuk ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau percaya bahawa Hospital Mount Elizabeth ada teknologi canggih bagi membolehkannya membuat pemeriksaan jantung tanpa ujian stres jantung atas ‘treadmill’ atau pengisar injakan.

Muhyiddin juga menegaskan dirinya tiada risiko untuk melarikan diri berdasarkan beberapa sebab termasuk memegang jawatan penting seperti Ahli Parlimen Pagoh, Presiden Bersatu dan Pengerusi PN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI