fbpx
SHUIB dan Watie kini masih dalam fasa bulan madu.

Watie ada tangan ajaib – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BOHONG jika pelawak dan penyampai radio, Shuib tidak berasa gusar dan risau sewaktu hasrat untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama wanita pilihannya, Watie harus diluahkan dari bibirnya.

Antara perkara yang membimbangkan lelaki berusia 39 tahun itu adalah memikirkan jika wanita yang bakal disunting menjadi suri hatinya itu tidak pandai memasak.

Semua itu demi anak-anaknya yang sangat cerewet tentang makanan. Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad amat gusar perkara tersebut bakal memberi kesan terhadap rumah tangganya.

Sekadar berkongsi cerita, Shuib memberitahu sebelum berkahwin, Watie atau nama lengkapnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanafiah pernah menghantar nasi Arab yang dimasak sendiri ke rumah.

Apa yang membuatkan Shuib terkejut apabila hidangan air tangan wanita itu tidak boleh dimakan kerana terlalu masin, sekali gus membuatkan dia terfikir bahawa Watie tidak pandai memasak.

SEBELUM memiliki zuriat bersama suatu hari nanti, Shuib dan Watie sepakat mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap empat orang anak sedia ada.

Tangan ‘ajaib’

Namun, segala-galanya berubah selepas mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri. Ternyata, Watie yang dianggap tidak pandai memasak, rupa-rupanya memiliki tangan ‘ajaib’.

“Tapi semuanya berubah selepas kami berkahwin. Ternyata isteri sebenarnya mempunyai kebolehan memasak yang sangat luar biasa. Walaupun lauk yang dimasaknya pertama kali dibuat, semuanya sedap.

“Apa yang dimasak Watie semua menjadi,” kata Shuib lega.

Antara hidangan enak yang dimasak isterinya itu adalah seperti ayam masak asam pedas, rendang, sup tulang dan ayam masak kicap.

“Jadi bila teringat balik waktu dia hantar nasi Arab ‘masin’ sebelum kami berkahwin, saya jadi risau. Sebab anak-anak suka makan.

“Tapi alhamdulillah, Watie rupanya pandai memasak. Bukan saya sahaja bahagia, anak-anak juga turut gembira,” jelas Shuib sambil memegang erat tangan si isteri yang ada di sisinya.

Wanita yang suka ketawa itu kemudiannya mencelah. Kata Watie, dia mengakui bukanlah seorang yang mahir dalam memasak dan akan merujuk resipi terlebih dahulu dalam laman web sebelum memulakan masakan.

“Sebelum berkahwin saya makan ayam sahaja. Tapi selepas mendirikan rumah tangga, saya kena belajar memasak, sebab anak-anak suka makan. Lauk pula pelbagai.

“Selepas makan, mereka akan beri markah. Kalau dapat 100 per 100, maksudnya masakan saya memang sedap. Tapi saya tidak kecil hati jika mendapat markah kurang. Sebab dalam lima hidangan, mungkin satu sahaja yang kurang menepati selera mereka,” katanya.

Di mata Watie, Shuib bukan sahaja suami yang baik, bahkan juga bapa bertanggungjawab terhadap anak-anak.
– SADDAM YUSOF

Anak sendiri

Bertuah Shuib apabila sekali lagi diberikan rezeki seorang isteri yang bertanggungjawab, selepas ‘kehilangan’ cinta hatinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada Ogos 2021 akibat Covid-19.

Malah, kehadiran Watie sebagai pengganti dalam kehidupan Shuib, turut disambut baik oleh anak-anak yang kini menganggap wanita itu bagai ibu mereka.

Bagi Watie sendiri, kasih sayang yang dicurahkan kepada empat orang anak tirinya, Uwais, Talita, Matin dan Ayash tidak pernah berbelah bahagi.

Sehinggakan dia sendiri tidak merancang untuk memiliki anak sendiri bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka berempat.

Walaupun anak-anak tirinya sudah meminta diberikan adik baharu, namun Watie berkata, dia bimbang jika timbul rasa cemburu dalam hati mereka sekiranya dia memiliki anak sendiri suatu hari nanti.

“Kalau tanya tentang anak sendiri, kami tidak pernah berbincang mengenai perkara ini.

“Talita pernah minta nak adik baharu. Tapi, apabila saya bersama yang bongsu (Ayash) pun mereka cemburu. Macam mana agaknya kalau saya ada anak sendiri?” kata Watie.

Tambah wanita itu, dia turut bimbang memikirkan perasaan empat anak tirinya sekiranya dikatakan melebih-lebihkan anak sendiri jika dikurniakan cahaya mata lagi.

“Apabila mereka (anak-anak tiri) minta adik, saya bimbang nanti mereka fikir saya melebih-lebihkan anak sendiri. Jadi, takut nak bagi mereka adik,” jelasnya yang bahagia membesarkan keempat-empat mereka walaupun bukan lahir dari rahim sendiri.

ENGGAN membiarkan isterinya berkecimpung dalam dunia hiburan, Shuib hanya memberi keizinan untuk Watie terlibat dalam program kekeluargaan yang turut menampilkan dirinya atau bersama anak-anak

Syarat Shuib

Sejak mendirikan rumah tangga bersama Shuib juga, Watie tidak terlepas daripada menjadi buruan lensa populariti yang diraih suaminya.

Bahkan, wanita itu juga memberitahu pernah ditawar untuk bergiat dalam bidang hiburan, namun tidak mendapat keizinan daripada suaminya.

Sebagai ketua keluarga, Shuib berkata, dia tidak membenarkan isterinya itu terbabit dalam bidang seni kerana mahu dia memberi fokus terhadap rumah tangga yang baru dibina.

Bagaimanapun, Shuib hanya memberi kebenaran kepada Watie untuk terbabit dalam program televisyen bercorak kekeluargaan yang menampilkan mereka berdua, atau bersama anak-anak.

“Seperti program Dapur Tempur Selebriti yang turut melibatkan saya. Program sebegitu saya izinkan.

“Lagi pun saya terima tawaran buat program ini kerana Watie juga boleh tahan pandai memasak.

“Saya memang suka dengan program masakan seperti ini kerana ketika bersama arwah isteri, Siti Sarah dahulu pun kami selalu terbabit dalam program bercorak kekeluargaan,” jelasnya.

Pada masa sama, Watie juga sebenarnya tidak berminat untuk menceburkan diri dalam bidang hiburan kerana bukan jiwanya untuk terlibat dalam dunia seni.

“Selain Shuib tidak benarkan, saya juga tidak selesa berada depan kamera, apatah lagi berlakon kecuali Shuib ada menemani di sebelah.

“Saya lebih minat buat perkongsian dalam media sosial berbanding depan kamera,”
katanya.

BAHAGIA hidup sebagai suami isteri, Shuib dan Watie memastikan keseronokan anak-anak sebagai keutamaan tertinggi dalam hidup mereka.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN