fbpx

Peniaga maut motosikal dirempuh kereta dipandu remaja 14 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kemalangan mengakibatkan seorang wanita maut di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Seorang peniaga maut manakala kakaknya cedera setelah motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta dipandu remaja berusia 14 tahun di Jalan Kuala Kedah dekat sini, petang semalam.

Mangsa, Nur Shafiqah Abdullah, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.

Sementara kakaknya, Nooraliza Abdullah, 43, mengalami kesakitan di bahagian dada, pinggang dan kaki kiri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.05 malam semalam.

“Siasatan mendapati, dua beradik yang menaiki motosikal jenis Honda Wave tersebut bergerak dari lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah manakala kereta Proton Satria dipandu remaja perempuan datang dari arah bertentangan.

“Kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi tengah jalan sebelum masuk ke arah bertentangan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, kereta itu kemudian bertembung dengan motosikal dinaiki Nur Shafiqah dan kakaknya menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian manakala kakaknya pula cedera di beberapa bahagian badan.

Mengulas lanjut Syed Basri berkata, kejadian berlaku ketika hujan dan jalan basah dengan kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal tersebut berasal dari Kampung Ulu, di sini.

“Remaja terbabit yang tidak bekerja dan tidak bersekolah dipercayai memandu kereta milik rakan ibunya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta tersebut yang gagal mengawal kenderaannya,” katanya.

Tambahnya, pihaknya kini masih berusaha mengesan saksi awam di lokasi kejadian dengan pemeriksaan lanjut akan turut dijalankan terhadap kenderaan terlibat.

“Pihak kami akan berusaha mengesan pemilik kereta itu dan mengambil tindakan terhadapnya kerana membenarkan kenderaan tersebut dipandu remaja bawah umur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI