fbpx

Rakyat Palestin berdepan ancaman genosid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG RAMAI melihat mayat penduduk Palestin yang terbunuh selepas serangan ke atas Hospital Ahli Arab di tengah Gaza pada 17 Oktober lalu. – AFP

NEW YORK – Israel terlibat dalam kempen sistematik jenayah kemanusiaan di Gaza, kata pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam amaran yang disiarkan kelmarin seperti laporan laman berita RT.

“Berdasarkan kenyataan oleh pemimpin-pemimpin politik Israel dan sekutu mereka berserta tindakan ketenteraan di Gaza, di samping peningkatan penangkapan serta pembunuhan penduduk di Tebing Barat, wujud risiko genosid (penghapusan etnik) terhadap rakyat Palestin,” kata pakar-pakar berkenaan yang merupakan anggota badan Prosedur-Prosedur Khas di bawah naungan Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Menurut mereka, Israel mencabuli undang-undang kemanusiaan dan jenayah antarabangsa kerana bertindak menyekat bekalan air minuman, ubat dan makanan ke Gaza walaupun Majlis Keselamatan PBB telah berulang kali mengecam perbuatan menjadikan kebuluruan sebagai senjata peperangan.

Sementara itu, kata mereka, pemusnahan kediaman dan infrastruktur awam secara terancang dan berterusan pula merupakan contoh jenayah ‘domisid’.

Kumpulan pakar itu merujuk kepada serangan udara ke atas Hospital Al-Ahli Arab pada Selasa lalu yang membunuh lebih 470 penduduk awam dan menyebabkan beratus-ratus mang­sa tertimbus di bawah runtuhan sebagai ‘zalim’, di samping serangan terhadap sekolah kendalian agensi pelarian Palestin PBB (UNRWA) di kem pelarian al-Maghazi pada hari sama.

Serangan ke atas sekolah UNRWA itu menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera.

Menurut mereka, Israel sedar sepenuhnya bahawa kedua-duanya adalah fasiliti awam selepas mengancam akan menyerang Hospital Al Ahli Arab sebanyak dua kali sekiranya penghuninya tidak berpindah.

Israel juga menerima koordinat lokasi sekolah tersebut daripada UNRWA setiap hari sebagai peringatan ia adalah infrastruktur awam.

Dua kem pelarian lain yang sarat dengan penduduk juga di­serang pada Selasa lalu, walaupun ketika bilangan penduduk Palestin yang menjadi pelarian di tanah air sendiri di Gaza meningkat kepada sejuta orang.

Justeru, pakar-pakar PBB tersebut meminta supaya pekerja kemanusiaan dilindungi.

Menurut mereka berdasarkan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perkhidmatan kesihatan di Gaza telah di­serang lebih 136 kali sejak Israel mengisytiharkan perang terhadap Hamas awal bulan ini.

Sekurang-kurangnya 16 petugas kesihatan terbunuh dalam siri serangan itu.

Mereka turut mengutuk kegagalan masyarakat antarabangsa untuk bertindak atau mengecam keras kempen pengeboman pa­ling sengit dalam sejarah Israel itu yang menyebabkan kemusnahan lebih teruk di Gaza.

Semenanjung Gaza berdepan kepungan darat laut dan udara Rejim Zionis sejak 16 tahun lalu.

Kumpulan sama menuntut gencatan senjata segera, akses makanan, air, bahan api, bekalan elektrik, ubat dan tempat perlindungan di samping pampasan, kepulangan serta pembinaan semula ke arah keadilan sepenuh­nya buat rakyat Palestin.

Sebilangan anggota kumpulan Prosedur-Prosedur Khas itu turut mengeluarkan amaran serupa minggu lalu selepas Israel mengarahkan supaya kawasan utara Semenanjung Gaza dikosongkan.

Mereka berkata, perpindahan paksa 1.1 juta penduduk Palestin di zon perang Gaza tanpa bekalan elektrik dan hampir tiada bekalan makanan atau air dalam masa 24 jam adalah satu cubaan penghapusan etnik. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI