fbpx

JAR platform tingkat kecekapan, ketelusan pengurusan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) disifatkan memainkan peranan penting sebagai platform meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kerajaan yang menumpukan kepada tiga bidang utama iaitu pengukuhan governans, pemantapan integriti dan antirasuah.

Menurut Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lim Bee Kean, JAR dibangunkan bersama dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) sejak 2019 demi mencapai visi bebas rasuah.

Katanya, sistem pentadbiran bersih, telus, efektif dan terbuka menjadi agenda utama melalui tindakan mencegah penyelewengan serta ketirisan dana kerajaan demi kebajikan rakyat dan kepentingan negara.

“JAR dianggotai oleh Ketua Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Audit Negara, Peguam Negara selain semua Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan lain-lain ahli difikirkan perlu.

“Selain itu, antara kejayaan JAR adalah mengesyorkan penubuhan Single Border Agency (SBA) untuk menangani ketidakseragaman dan kekurangan pegawai penguatkuasa yang kritikal di pintu-pintu masuk sempadan negara.

“Isu ini boleh membuka ruang untuk aktiviti rasuah di sempadan negara yang boleh menggugat keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Jelasnya, hasil daripada perbincangan lanjut Mesyuarat JAR Kebangsaan turut memutuskan supaya Pasukan SBA dikuat kuasakan pada 11 November 2021.

“Kini, ia dalam peringkat akhir pelaksanaan di mana penubuhan SBA boleh meningkatkan integriti pengurusan di pintu masuk negara khususnya kawalan dan pemeriksaan keluar masuk orang, kenderaan, barangan dan binatang.

“JAR juga turut mengesyorkan kewujudan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan sumbangan atau hadiah oleh agensi awam daripada pihak luar bagi tujuan bencana alam.

“Jadi, Jabatan Perkhidmatan Awam sedang menambah baik Tatacara Pemberian dan Penerimaan Hadiah dengan mengambil kira syor SPRM untuk meningkatkan ketelusan dan keseragaman mengenai pengurusan penerimaan dan permohonan sumbangan,” tegasnya.

Sementara itu, menjelaskan mengenai usaha terkini bagi memantapkan JAR, jelasnya, Jawatankuasa Anti-Rasuah Integrated System (JARIS) mula dibangunkan pada bulan Ogos 2021 melalui kerjasama di antara BUTSA dan Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat SPRM.

“Sistem JARIS merupakan satu sistem teknologi maklumat melibatkan pengurusan dokumen mesyuarat, pengemukaan dan pemantauan maklum balas minit mesyuarat dan pelaporan isu JAR.

“Sistem itu bertujuan menguruskan JAR dengan lebih pantas dan efisien disamping memudahkan pemantauan oleh KSU dan SUK ke atas tindakan yang perlu atau masih belum diambil tindakan oleh kementerian dan kerajaan negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI