fbpx

Muktamar Pas: Pas dukacita usul gencatan senjata konflik Palestin-Israel ditolak PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim bersama kepimpinan Dewan Pemuda Pas pada muktamar malam tadi. FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Pas kesal dengan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak menyokong usul gencatan senjata di Gaza bagi meredakan konflik Palestin dan Israel.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini seterusnya mencerminkan ketidakprihatinan majlis berkenaan terhadap isu keselamatan yang berlaku di Palestin.

Katanya, Pas amat terharu dengan insiden pengeboman Hospital Al-Ahli al-Arab kelmarin yang telah mengorbankan antara 700 hingga 800 orang yang jelas menceroboh mana-mana peraturan antarabangsa.

“Sepatutnya, majlis keselamatan PBB yang bawa usul tersebut supaya keselamatan (rakyat Palestin) terjamin. Namun, apa yang berlaku adalah majlis itu menolak usul dibawa Rusia.

“Kita mengharapkan satu pasukan pengaman PBB dihantar segera ke Palestin. Kelewatan menghantar akan menambah risiko kematian,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-64 di Pusat Konvesyen Ideal, malam tadi.

Tegas beliau, apa yang mendukacitakan Pas adalah kebebalan kuasa-kuasa besar yang menyokong kekejaman dan penindasan terhadap umat Islam Palestin yang berterusan lebih daripada 70 tahun.

Kata Tuan Ibrahim, isu Palestin akan menjadi salah satu topik yang akan dibahas hampir semua perwakilan pada muktamar tahunan Pas tersebut.

Sebelum ini, resolusi yang dibawa Rusia itu menerima lima undian yang menyokong, manakala empat lagi menolak selain enam berkecuali.

Negara yang menolak resolusi itu ialah Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis dan Jepun. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI