fbpx

Industri makin teruk! Hina sangat ke kami? – Didie Alias

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIDIE ALIAS

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Didie Alias menzahirkan kekecewaan terhadap industri seni yang disifatkan semakin teruk apabila seolah-olah tidak lagi menghargai lagi bakat lama dan dibayar dengan harga tidak setimpal.

Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. @ Ali berkata, pengalaman hampir 40 tahun menumpahkan sepenuh cinta dalam industri seolah-olah tiada harga di mata penggiat industri.

“Berlakon masih lagi ada. Tapi agak mengecewakan. Tak tahulah industri makin lama makin teruk. Saya sudah berada dalam industri hampir 40 tahun.

“Tapi kenapa nampak saya makin lama makin hina sangat dengan harga yang ‘dibuka’ (ditawarkan). Bukan saya sahaja, tetapi termasuk kawan-kawan yang lain,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Ujar pelakon yang mesra membahasakan dirinya ‘mommy’ itu, bayaran yang diterima kadang-kala tidak setimpal dengan pengalaman, komitmen yang ditagih.

“Saya bagi contohlah. Kita dah ‘lock’ untuk kerja yang panjang, empat hingga enam bulan. Tapi dibayar cuma RM20,000 hingga RM30,000 untuk enam bulan. Kau rasa berbaloi tak?

“Kau ingat aku ini apa? Baik aku jadi pelakon tambahan. Sebagai penerbit atau stesen televisyen, janganlah ‘pijak’ kami pelakon-pelakon lama ini,” katanya.

Lebih membuatkan Didie terasa hati apabila dia pernah ditawarkan bayaran serendah RM1,000 sehari untuk berlakon dalam sebuah filem.

“Itu agak melampau. Saya dapat banyak tawaran (rendah) begitu. Termasuk filem. Satu hari cuma dibayar RM1,000. Baik aku buat ‘review’ dalam media sosial. Lagi boleh hidup.

“Kalau saya tidak bersuara, siapa yang akan bantu? Tiada,” jelasnya.

Bukan niat untuk membangga diri, Didie yang ditemui ketika sidang media dan sesi rakaman program Dapur Tempur Selebriti di sini, semalam, perlu bertegas menolak tawaran yang dirasakan tidak setimpal kerana percaya pada rezeki lain yang telah diatur Tuhan.

“Saya tolak (tawaran) kalau produksi tidak boleh ikut harga saya. Tak mengapa, rezeki Allah yang tentukan.

“Kalau saya tidak berlakon, saya boleh mengacara. Kalau tidak saya buat program sendiri. Tapi kasihanlah pada kawan-kawan saya yang mengharapkan lakonan sahaja sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Pada masa sama, pelakon berusia 51 tahun itu menasihatkan pemain industim khususnya para penerbit agar tidak ‘pilih bulu’ membeza-bezakan tahap bayaran elakon lama dan baharu yang kurang berpengalaman. Lebih menyakitkan., pelakon baharu kini menerima bayaran yang jauh lebih tinggi berbanding pelakon lama.

“Kenapa orang lain boleh dibayar dengan harga setimpal, tapi pengalaman tidak ada. Boleh letak harga satu episod sehingga RM5,000. Kenapa?

“Saya bercakap bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi mewakili rakan-rakan senasib yang lain. Ramai yang sudah lama tidak berlakon sehingga enam bulan,” jelasnya.

Tambah Didie, dia tidak menyalahkan pendatang baharu yang membanjiri industri, namun berharap kehadiran mereka biarlah seiring dengan bakat.

“Ada yang datang masuk set, saya kena ajar mereka balik. Mereka tidak ada asas (lakonan). Saya kena duduk dengan mereka untuk mengajar. Lagi banyak kerja aku,” katanya.

Sekadar meluahkan perasaan, Didie bagaimanapun belum terfikir untuk berhenti daripada bidang lakonan buat masa sekarang, melainkan jika dirinya tidak lagi diperlukan dalam industri.

“Kalau saya berhenti, tak ada lagilah Didie Alias. Saya tidak akan bercakap untuk bersara, sebab bila cakap begitu (bersara), saya akan rindu.

“Saya akan terus berada dalam industri selagi diperlukan,” jelasnya.

Isu soal bayaran artis veteran yang dikatakan tidak setimpal, telah banyak kali disuarakan oleh ramai artis senior.

Sebelum ini pelakon Jalil Hamid mendedahkan pernah ditawar dengan bayaran serendah RM150 sehari untuk berlakon dalam sebuah drama.

Selain itu, dramatis air mata Wan Maimunah juga mengalami nasib sama apabila dibayar dengan harga RM200 untuk berlakon dalam sebuah telefilem. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI