fbpx

Penuntut Universiti Antarabangsa Albukhary ditembak Zionis pada hari lahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Sulaiman diusung oleh keluarganya selepas maut 7 Oktober lalu di sempadan Gaza.

ALOR SETAR – Seorang penuntut Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di sini maut pada hari jadinya sendiri, 7 Oktober lalu akibat bedilan penembak tepat tentera Zionis dipercayai di sempadan Gaza.

Sulaiman J.S Abuanza, 23, yang pulang melawat keluarga­nya di Gaza semasa cuti semester lalu selain perlu melakukan pembedahan lasik matanya.

Naib Canselor AIU, Prof. Eme­ritus Datuk Dr. Abdul Aziz Tajuddin berkata, Allahyarham Sulaiman merupakan seorang pelajar yang cemerlang.

“Sejujurnya, Sulaiman merupakan antara mahasiswa yang kami harapkan untuk membawa perubahan serta membawa lebih banyak kemajuan kepada komunitinya di Palestin selepas menamatkan pengajian di sini nanti.

“Walau bagaimanapun, takdir menentukan bahawa dia syahid di tanah airnya sendiri pada 7 Oktober lalu yang juga merupakan hari kelahirannya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kata Abdul Aziz, arwah terlibat dengan program komuniti anjuran universiti melibatkan golongan miskin di Baling dan Sik, dekat sini.

“Di dua daerah itu, kami melaksanakan program untuk membantu meningkatkan tahap ekonomi golongan miskin. Arwah yang memiliki kepakaran dalam bidang komputer, terlibat dalam program tertentu berkaitan teknologi komputer yang mampu membantu golongan tersebut.

“Kini kami kehilangan seorang mahasiswa yang sangat baik, bijak dan berbakat dalam bidang­nya,” ujarnya.

Abdul Aziz pada masa sama merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Sulaiman.

“Saya difahamkan jenazah hanya dikenal pasti selepas tiga hari dia meninggal dunia. Kami di AIU merasai kehilangannya dan Allahyarham akan diingati sebagai seorang yang sangat berkebolehan dan memiliki keperibadian baik sepanjang hayatnya,” katanya.

Terdahulu, Sulaiman dilaporkan maut ditembak tentera Israel ketika dalam perjalanan pulang dari Gaza ke Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI