fbpx

Pendengaran permohonan kerajaan halang PetroSaudi guna dana 1MDB tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. - AFP/ MANAN VATSYAYANA SKANDAL 1MDB persis mendapat perhatian di mahkamah dunia dan terkini oleh Jabatan Perhakiman (DoJ) Amerika Syarikat. . AFP Terbitan Utusan Malaysia 10/03/2022

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 Februari tahun depan bagi pendengaran permohonan kerajaan untuk menghalang PetroSaudi International  Ltd (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid daripada menggunakan AS$340 juta yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom (UK).

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi memohon satu tarikh sambung pendengaran berikutan pihaknya masih menunggu perkembangan terbaharu daripada pihak Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes tersebut.

“Dalam kes ini pemohon (pendakwa raya) memahami keprihatinan mahkamah bahawa kes ini telah lama berlangsung, pihak-pihak belum menyelesaikan hujahan. Bagaimanapun pihak-pihak akur dengan keputusan mahkamah sekiranya dapat menetapkan satu tarikh lagi untuk pihak-pihak berhujah.

“Ini akan dapat membantu pihak pemohon (pendakwa raya) untuk menyelesaikan beberapa perkara yang mana terdapat saksi yang baru dirakam percakapannya dan mungkin boleh memberi kesan terhadap kes ini,” kata Ahmad Sazilee semasa prosiding pengurusan kes itu hari ini.

Semasa prosiding ketika ditanya Hakim Ahmad Shahrir, adakah saksi baharu berkenaan telah selesai dirakam percakapannya, Ahmad Sazilee kemudian memaklumkan rakaman percakapa masih berlangsung.

Sementara itu peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili Tarek Obaid mencadangkan agar pendengaran terakhir bagi kes itu perlu ditetapkan memandangkan kes tersebut telah lama dan sekiranya terdapat sebarang permohonan ia perlu difailkan sebelum tarikh pendengaran.

Dalam pada itu, Peguam Alex Tan yang mewakili PSI, PSOS-VZ dan Temple Fiduciary Services Limited, yang merupakan responden kedua, ketiga dan kelima berkata beliau menggunapakai hujahan Mohd. Yusof.

Pada 16 Julai 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghalang pihak terbabit daripada mengalihkan wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya dalam akaun eskrow yang dipegang oleh Clyde & Co.

Perintah itu adalah bagi mengekalkan status quo pihak terbabit sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah menghalang sebarang urusan membabitkan wang milik PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ yang kini berada dalam akaun tersebut.

Kerajaan Malaysia mendakwa wang terbabit berasal daripada dana 1MDB dalam satu usaha sama dengan PSI bagi menubuhkan 1MDB Petrosaudi Ltd pada 2010.

Permohonan itu, yang difailkan di bawah Seksyen Section 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, menamakan Obaid, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary sebagai responden pertama hingga kelima. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI