fbpx

Aqil terharu nama disebut Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD AQIL NAUFAL memegang piala dan pingat Pemain Paling Berharga program pencarian bakat pemain bola sepak OKU di Kelantan kelmarin.

JERANTUT – Semangat tinggi kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU), Muhamad Aqil Naufal Zaharin, 11, dalam sukan bola sepak ‘menutupi’ kekura­ngan yang ada pada dirinya.

Meskipun dia merupakan anak yatim dan tinggal bersama bapa saudara, Abdul Mutalib Mat Desa, 62, tidak menghalang Muhamad Aqil Naufal untuk mencapai kejayaan sehingga menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyebut namanya semasa Belanjawan 2024, Jumaat lalu.

Abdul Mutalib berkata, dia yang menjaga Muhamad Aqil Naufal melihat kanak-kanak itu mempunyai semangat yang begitu tinggi dan tidak berputus asa walaupun kudung kaki kiri.

Peneroka Felda Lepar Utara 1 itu berkata, dia terkejut dan terharu apabila Perdana Menteri menyebut nama anak saudara­nya semasa Belanjawan 2024 yang menyentuh mengenai semangat kesukanan Muhamad Aqil walaupun serba kekurangan.

“Perdana Menteri baru-baru ini menyebut impian Muhammad Aqil Naufal tercapai setelah mendapat bantuan Kerajaan Perpaduan serta dorongan Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA).

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang mengambil anak saudara saya sebagai contoh sekali gus dapat menaikkan semangatnya serta hasratnya untuk berjaya dalam sukan bola sepak.

“Pujian berupa dorongan serta semangat kepada Muhammad Aqil Naufal bukan untuk dirinya sahaja, malahan semua anak istimewa dan OKU di negara ini supaya mereka terus bergiat aktif serta maju dalam lapangan sukan masing-masing,” katanya di sini semalam.

MUHAMMAD AQIL NAUFAL (tengah) bersama Abdul Mutalib (kiri) dan Saleha Daii di Felda Lepar Utara Satu, Jerantut semalam.

Bercerita lanjut, katanya, dia menjaga Muhammad Aqil Naufal sejak kanak-kanak itu berusia tiga tahun apabila bapanya, Zahiran Mohamad meninggal dunia akibat sesak nafas.

“Melihat keadaan ibunya, Noor Hafizah Mat Desa perlu be­kerja dan menjaga kebajikan serta persekolahan seorang lagi adik Muhammad Aqil Naufal, saya ambil serta jaganya sebagai anak sendiri dan memenuhi segala kebajikannya termasuk mengambil dan menghantar ke sekolah.

“Saya juga menyokong minatnya untuk bergiat dalam sukan. Bakatnya dalam bola sepak terserlah sejak dua tahun lalu. Kaki kirinya kudung dan bertongkat tetapi dia mampu melompat dan berlari semasa latihan,” katanya.

Pada Ogos lalu, kesungguhan Muhammad Aqil Naufal berlari pada Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut 2023 menggunakan tongkat tular di media sosial.

Sementara itu, ibu kanak-kanak istimewa itu, Noor Hafizah Mat Desa, 36, berkata, dia bersama seorang lagi anak tinggal dan bekerja di Kuala Lipis dan berulang-alik ke Felda Lepar Utara 1 setiap hujung minggu atau ketika kelapangan untuk bertemu Muhammad Aqil Naufal.

“Saya baru balik dari Kelantan semalam (kelmarin) menemani­nya menyertai program penca­rian bakat baharu sebagai pelapis sukan amputee football dan alhamdulillah dia dipilih sebagai MVP (most valuable player).

“Selepas balik dari Kelantan semalam, saya bersamanya terus ke Kuala Lumpur untuk menerima kaki palsu bernilai RM12,500 disumbangkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Mente­rinya, Hannah Yeoh,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI