fbpx
Ramai percaya bahawa pasu Basano memiliki sumpahan.

Misteri pasu ragut nyawa pemiliknya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASU bunga yang cantik pasti menjadi idaman setiap peminatnya, lebih-lebih lagi buat mereka yang gemar menanam pokok.

Pun begitu, pada abad ke-15, ada sebuah pasu yang dihasilkan dengan ukiran perak menjadi terkenal dalam kalangan masyarakat kerana dikaitkan dengan sumpahan puaka.

Ia dikenali sebagai pasu Basano. Mengikut cerita asal, pasu perak tersebut dihasilkan untuk dijadikan hadiah perkahwinan buat seorang gadis di sebuah perkampungan dalam daerah Campania di Napoli, Itali.

Apa yang menjadikan pasu tersebut misteri adalah selepas pengantin perempuan meninggal dunia pada malam perkahwinannya dalam keadaan memeluk pasu terbabit.

Sebelum meninggal dunia, pengantin perempuan sempat memberitahu bahawa dia akan kembali semula untuk membalas dendam.

Sejak kematiannya, pasu tersebut disimpan rapi oleh keluarga pengantin perempuan dan tiada apa yang pelik berlaku terhadap pasu tersebut. Pun begitu, apabila pasu tersebut diperturunkan kepada waris-waris terdekat, kematian demi kematian mula berlaku.

Ada sahaja waris pasu itu akan meninggal dunia. Lebih aneh, punca kematian mereka kekal misteri dan tidak dapat dikenal pasti sampai hari ini.

Menurut seorang ahli sejarah di negara itu, Antonio, kejadian aneh tersebut membuatkan mereka (keluarga dan mangsa) yakin pasu itu berisi sumpahan yang membawa kematian.

“Sejak itu, ahli keluarga pengantin perempuan membuat keputusan menyembunyikan pasu Basano dengan menanamnya di satu kawasan rahsia.

“Sejak itu, kisah kematian misteri angkara pasu berkenaan lenyap dan tidak berulang lagi,” katanya.

Ujarnya, pasu tersebut secara tidak sengaja dijumpai semula pada tahun 1988 iaitu kira-kira 400 tahun selepas ditanam.

Pada pasu itu juga dijumpai bersama nota tertulis: “Hati-hati, pasu ini membawa kematian bersamanya”.

KISAH sumpahan pasu Basano terkenal dalam kalangan masyarakat di Napoli, Itali.

“Malangnya, kertas amaran itu dibuang dan pasu itu dijual di sebuah pusat lelongan dengan harga 4 juta lira (RM685,165) kepada seorang ahli farmasi.

“Sumpahan bermula semula apabila ahli farmasi tersebut meninggal dunia tiga bulan kemudian,” katanya.

Selepas kejadian tersebut, pasu Basano dijual pula kepada doktor pakar bedah yang tidak percaya kepada perkara tahyul.

Akhirnya, dia dikatakan turut menemui ajal dua bulan selepas membeli pasu tersebut pada usia 37 tahun.

“Pasu tersebut kemudian dijual kepada seorang ahli arkeologi sebagai koleksi peribadinya selepas tertarik dengan keindahan corak pada pasu itu.

“Namun, ahli arkeologi itu juga meninggal dunia atas penyakit yang tidak diketahui.

“Keluarganya cuba menjual pasu Basano itu. Mereka berjaya menjual kepada seorang pemilik, walaupun pada harga rendah.

“Sekali lagi puaka berlaku, pemilik baharu itu meninggal dunia dalam tempoh satu bulan sahaja. Sejak itu, seluruh bandar mula mempercayai sumpahan tersebut.

“Keluarga pemilik itu juga tidak mahu lagi menyimpan Basano di rumah mereka dan membuangnya ke luar tingkap,” ujar Antonio.

Ketika insiden tersebut, pasu tersebut hampir mengenai kepala seorang anggota polis yang kebetulan lalu di situ.

Polis itu bertindak memulangkan semula dan memberi amaran akan mengeluarkan saman kerana bertindak membahayakan orang lain, selain boleh terjadinya kecederaan.

Dikatakan ahli keluarga itu sanggup menerima saman polis tersebut, tetapi mereka enggan mengambil pasu berkenaan semula.

Bahkan, mereka rela dimasukkan ke penjara daripada menyimpan semula pasu itu.

Akhirnya, polis itu cuba menyerahkan pasu Basano kepada beberapa buah muzium, namun semua enggan menerimanya. Ini kerana, kisah sumpahan tersebut telah tersebar di serata negeri.

Polis itu akhirnya menanam Basano di satu lokasi rahsia supaya tiada lagi mangsa terpalit dengan sumpahan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN