fbpx

Labah-labah keluar dari lubang tepi tandas sekolah – Surat Maryam kepada ‘Uncle’ Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Surat ditulis oleh Maryam berhubung keadaan tandas di sekolahnya dimuat naik Anwar di media sosial hari ini.

PETALING JAYA – Seorang murid darjah tiga menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadu keadaan tandas di sekolahnya yang didakwa tidak berfungsi dengan baik untuk kegunaan mereka.

Murid perempuan dikenali sebagai Maryam dari Kelas 3A itu membahasakan Perdana Menteri sebagai ‘Uncle’ Anwar meminta beliau datang ke sekolahnya bagi melihat sendiri keadaan tandas di situ.

“Nama saya Maryam dan saya berumur sembilan tahun. Saya nak beritahu mengenai tandas sekolah saya. Sepertimana saya hargai sumbangan (Perdana Menteri) dalam memastikan tandas sekolah bersih, saya tidak rasa tandas di sekolah saya bersih.

“Hanya dua tandas di sekolah saya mempunyai mangkuk tandas. Di tingkat paling atas di sekolah iaitu di mana kelas saya berada, tandas terletak di sebelah kiri kelas,” tulisnya pada surat tersebut yang dimuat naik Anwar di media sosial hari ini.

Maryam memaklumkan, tandas pertama ialah tandas cangkung dan di tepinya terdapat lubang yang sepertinya labah-labah boleh merangkak keluar bila-bila masa.

“Baki tandas yang lain juga sama. Jadi tolong lawat sekolah saya dan lihat tandas tersebut. Tolong lihat nota di bahagian belakang,” tulisnya lagi.

Pada muka surat seterusnya, Maryam memberitahu dia melihat banyak gambar-gambar selepas kerja ubah suai tandas sekolah yang cantik.

“Bagaimanapun, tandas sekolah saya tidak seperti itu. Untuk pengetahuan, hanya dua tandas yang ada mangkuk tandas. Jadi tolong bawakan banyak mangkuk tandas di sekolah saya.

“Akhir sekali apa yang saya nak maklumkan ialah siling di dalam tandas. Pada masa ini, dua jubin siling telah hilang. Terima kasih ‘Uncle’ Anwar,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau memberi jaminan masalah itu akan diselesaikan segera.

“Terima kasih Maryam. Saya akan berusaha dengan lebih teliti dan percepat selesaikan masalah ini demi kesejahteraan anak-anak di sekolah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI