fbpx

Konflik Israel-Palestin: Gaza akan jadi ‘kubur besar’ jika bantuan antarabangsa ditangguhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kepulan asap akibat serangan Israel menutupi ruang udara Bandar Gaza kelmarin. - AFP

BANDAR GAZA – Ketua pejabat media kerajaan Hamas, Salama Ma’rouf memberi amaran bahawa bencana kemanusiaan sedang menanti dengan Gaza dikhuatiri bertukar menjadi ‘kubur besar’ jika bantuan antarabangsa ditangguhkan.

Agensi berita Anadolu melaporkan, tentera Israel melan­carkan operasi ketenteraan berterusan dan besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza sebagai membalas serangan tenHamas pada Sabtu minggu lalu.

“Gaza memasuki ­situasi bahaya dan menyaksikan kemerosotan dalam semua perkhidmatan serta kehidupan penduduknya selepas Israel memutuskan bekalan air dan elektrik.

“Israel berusaha untuk menghapuskan seluruh kejiranan di Gaza, memaksa beratus-ratus ribu orang awam meninggalkan kediaman mereka, membunuh keluarga dan mengebom rumah penduduk Palestin,” kata Salama.

Tambahnya, pengeboman berterusan Rejim Zionis menyebabkan kematian ramai penduduk Gaza, bahkan rumah-rumah mayat tidak dapat lagi menampung bilangan mangsa yang terkorban.

Bilangan mereka yang cedera juga melebihi kapasiti hospital sehingga terpaksa ditempatkan di ruang koridor selepas bilik pembedahan dan wad penuh.

“Gaza menjadi zon bencana melibatkan genosid, hukuman kolektif dan pembunuhan beramai-ramai.

“Penangguhan bantuan akan menyebabkan Semenanjung Gaza menjadi kubur besar di mana orang awam mati akibat pengeboman, kelaparan, tiada air minuman bersih, atau wabak penyakit,” jelas Salama.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Palestin, Mai Al-Kaila meminta bantuan dan sokongan perubatan segera di Gaza sambil memberi amaran tentang tragedi yang sedang menanti.

“Terdapat kekurangan serius bekalan perubatan, peralatan bilik bedah dan beg darah,” katanya sambil menambah, bilangan mangsa yang cedera kini melebihi kapasiti hospital-hospital di Gaza.

Seramai 50,000 wani­ta hamil di wilayah Palestin itu turut berdepan kesulitan untuk melahirkan anak dengan 5,500 daripada mereka dijangka bersalin pada bulan depan. Mereka bergelut untuk mendapatkan akses kesihatan berikutan kaki­tangan kesihatan, hospital dan klinik dibom Rejim Zionis.

Tindakan balas dendam Israel terhadap Hamas termasuk memotong bekalan air dan elek­trik memburukkan lagi krisis kemanusian di Gaza. Semenanjung Gaza berada di bawah kepungan Israel sejak 2007.

Menteri Tenaga, Israel Katz sebelum ini berkata, bekalan elektrik, air dan bahan api tidak akan disalurkan ke Gaza selagi rakyat Israel yang ditawan oleh Hamas tidak dibebaskan.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin membuat rayuan bantuan kecemasan berjumlah AS$294 juta (RM1.39 bilion) untuk menangani ‘keperluan paling mendesak’ di Gaza dan Tebing Barat.

PBB membuat rayuan itu selepas lebih 400,000 rakyat Palestin meninggalkan rumah mereka sejak konflik terbaharu itu tercetus. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI