fbpx

Dua beranak maut, tak sempat beli nasi berlauk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian dua beranak maut dirempuh sebuah trak pikap di Kampung Chabang Empat, Tumpat, hari ini. Foto IHSAN PENDUDUK

TUMPAT – Hasrat seorang bapa untuk membeli nasi berlauk sarapan pagi kepada keluarganya tidak kesampaian apabila dia dan anak sulung maut, selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah trak pikap di Kampung Chabang Empat, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Mohamad Khairani Mat Rani, 30, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dan anaknya, Nurul Anisya Adriana, 7, maut di lokasi kejadian.

Abang mangsa, Mohd. Azmi Mat Rani, 31, berkata, Mohamad Khairani membonceng isterinya, Nurul Hasliza Mohd Fauzi, 24, bersama Nurul Anisya dan anak bongsu daripada empat beradik yang berusia dua tahun.

Menurutnya, empat beranak itu keluar dari rumah mereka di Kampung Bendang Luas, di sini, pagi tadi untuk membeli nasi berlauk berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat.

“Motosikal dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah trak pikap sebelum Mohamad Khairani bersama tiga ahli keluarganya itu tercampak hanya beberapa meter sebelum tiba di kedai nasi berlauk itu.

“Insiden itu menyebabkan abang saya digilis sebuah kereta Proton Wira manakala Nurul Anisya mengalami cedera parah pada beberapa bahagian anggota badan akibat tercampak,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tumpat, di sini hari ini.

Mohd. Azmi memberitahu, saksi di lokasi kejadian memaklumkan pemandu trak pikap itu terus memecut laju kenderaan terbabit selepas terlibat kemalangan.

Menurutnya, mayat abang dan anak saudaranya dihantar ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat, manakala kakak ipar dan seorang lagi anaknya yang cedera dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

“Sudah menjadi rutin keluarga abang apabila mereka akan keluar bersama-sama untuk membeli nasi berlauk pada hari minggu, iaitu hari Jumaat.

“Kedai nasi berlauk itu tidak jauh dari rumah kami. Hanya beberapa kilometer sahaja jaraknya,” ujarnya.

Mohd. Azmi berkata, dia yang bekerja di Johor baru berjumpa dengan arwah adiknya semalam apabila pulang bercuti di kampung selama empat hari.

Katanya, arwah sempat bermain dengan anak bongsunya yang berusia tiga bulan dan dia kelihatan sangat gembira.

“Arwah sempat senyum kepada saya semasa dia menunggang motosikal untuk membeli nasi berlauk. Tidak beberapa lama kemudiannya, ibu saudara memaklumkan bahawa Mohamad Khairani maut akibat kemalangan jalan raya.

“Jenazah adik dan anak saudara saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bechah Resak, di sini hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI