JIKA di Hollywood, memegang watak adiwira dalam filem mahupun drama aksi, fantasi dan sains fiksyen adalah satu tanggungjawab besar.
Bukan hanya tanggungjawab malah karakter tersebut adakalanya mampu mencetuskan fenomena tersendiri sehingga dijulang sebagai idola dan pahlawan dalam jiwa audiens.
Barangkali itulah yang ingin dirasai Beto Kusyairy selepas bersetuju menggalas watak Kapten Gemilang menerusi drama Super Wira arahan Ghaz Abu Bakar yang bakal disiarkan menerusi siaran Astro Ceria bermula 23 Oktober depan.
Tidak menolak rezeki sekiranya dijadikan idola khususnya dalam kalangan penonton kanak-kanak, itu yang diharapkan Beto dan pihak produksi.
Idola
Baginya, walaupun dijadikan idola, perkara tersebut tidak akan sesekali menjejaskan keharmonian kehidupan peribadinya yang sebelum ini disimpan rapi tanpa calitan kontroversi murahan.
“Menjadi adiwira kanak-kanak memang salah satu sasaran kami untuk naskhah ini.
“Perkara itu bagus malah tidak anggapnya sebagai satu beban besar sebab saya pun memang menjaga kehidupan peribadi selama ini.

“Dijadikan inspirasi dan idola, itu antara yang kita nak. Bukan seorang Beto yang dijadikan sebagai idola sebaliknya watak Kapten Gemilang,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Ujarnya, bukan hanya Kapten Gemilang, setiap watak dalam Super Wira juga boleh diangkat sebagai idola. Baginya, watak-watak lain turut memiliki sisi positif yang boleh dijadikan contoh, pengajaran dan memberi nilai positif kepada penonton.
“Selain itu ada juga karakter antagonis seperti Roy yang dimainkan oleh Nadhir Nasar, walaupun watak gelap tetapi ada sisi positif yang boleh jadi inspirasi kepada kanak-kanak.
“Saya sentiasa mengharapkan benda-benda yang baik sahaja mereka dapat daripada karya ini,” ujar bintang filem Imaginur itu.
Mengakui dirinya seorang yang cerewet tetapi naskhah Super Wira berjaya membuatkan hatinya tidak teragak-agak menerima tawaran.
“Saya seorang yang cukup menitikberatkan hal penceritaan dan dengan siapa ingin bekerja.
“Selepas Ghaz maklumkan secara terperinci mengenai jalan cerita dan barisan pelakon, tiada sebab saya mengatakan tidak untuk projek ini,” katanya.
Faktor usia
Ditanya kesediaannya menjayakan watak adiwira pada usia 43 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui agak gemuruh memandangkan fizikalnya tidak selincah dahulu.
“Secara jujur, memang sangat besar hati masih diberi kepercayaan menggalas watak sebegini.
“Gementar pun ada juga sebab saya sedar stamina dan tenaga tidak seperti dulu selepas memasuki umur 40-an apatah lagi watak adiwira selalunya melibatkan babak aksi lasak,” ujarnya.
Dia turut mengakui bahawa setiap pelakon yang menjayakan watak sebegitu seharusnya membuat persediaan rapi dan menabur sedikit usaha bagi meraih keyakinan penonton.
Antaranya ialah dengan mendapatkan bentuk fizikal ideal bersesuaian dengan karakter adiwira yang selalunya memaparkan hero berbadan kekar.
“Sebenarnya perlu ada usaha dan inisiatif daripada pelakon itu sendiri untuk merealisasikan watak supaya tak nampak kekok.
“Nanti tidaklah penonton mempertikai kemampuan pelakon tersebut,” jelas pemilik nama penuh Nurkusyairy Zakuan Osman itu lagi.
‘Buat’ badan
Tambahnya yang popular menerusi filem Istanbul Aku Datang! itu, tanggapan adiwira mesti berbadan tegap adalah bersifat subjektif.
Jelasnya, dia juga ingin melakukan hal sama, namun tidak kesampaian susulan faktor masa yang agak singkat dan terhad.
“Sebenarnya daripada segi visual dan gambar, benda itu (badan tegap) adalah perlu sebab ciri-ciri pemegang watak sebegitu selalunya mesti tegap, tinggi dan gagah supaya orang percaya dia ‘superhero’.
“Cuma dalam naskhah ini kami tak diberi peluang itu sebab tak cukup masa dan sebagainya.
“Mungkin kalau dijadikan filem, perkara itu (bertubuh sasa) boleh direalisasikan sekiranya diberi ruang,” tuturnya.
Dia bagaimanapun lebih memilih konsep realistik berbanding ‘menjual’ watak dengan fizikal tegap dan sebagainya.

Baginya, semuanya terpulang kepada penilaian dan cara penerimaan penonton yang dianggap memiliki kehendak visual mereka sendiri.
“Secara peribadi, saya lebih sukakan benda realisme. Dia sudah ada kuasa dan kuat, jadi mengapa badan perlu tegap tetapi dari sudut visual, paparan sebegitu cantik.
“Namun, dari sudut kemanusiaan, penonton mungkin akan lebih tertarik kerana realistik dan unik,” jelasnya seraya mengakhiri perbualan.
Bercerita mengenai kostum yang dipakai dalam Super Wira, Beto mengakui hal itu antara cabarannya dalam menjayakan karakter Kapten Gemilang.
Memakai kostum tebal sebegitu menuntut pengorbanan tinggi daripadanya ditambah lagi dengan cuaca panas yang tidak menentu.
“Selalunya memang pakai kostum itu hampir setengah hari. Panas juga tetapi pihak produksi sudah menyediakan kipas untuk kurangkan suhu panas dalam kostum itu, risau saya pitam.
“Selain itu, saya juga memang sudah pesan supaya kostum tersebut direka tidak terlalu sado sebab risau nanti kepala nampak kecil daripada badan, saya pula jenis tidak tinggi sangat.
“Harapnya drama ini mampu membuka mata lebih banyak pihak untuk menghasilkan naskhah berkualiti sebegini,” ujarnya menutup bicara.














