fbpx

1,200 pesawah susah hati, padi rosak sebab jadual pelepasan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petani dari Kampung Bukit Meriam, Kota Kuala Muda Mohd Fazirul Ismail, 39, (kanan) menujukkan keadaan sawah padi yang rosak akibat sistem pengairan yang tidak seragam dengan jadual penanaman padi petani.

SUNGAI PETANI – Kira-kira 1,200 pesawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Muda Selatan, Kota Kuala Muda dekat sini mendakwa kerja-kerja menanam padi di Kota 2 terjejas susulan jadual pelepasan air tidak selaras sejak tiga tahun lalu.

Ketua Unit Peladang Kampung Sungai Emas, Mohd. Yatim Ismail, 64, berkata,
jadual pelepasan air oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak mengikut jadual penanaman padi pesawah di situ melibatkan kawasan seluas 1,800 hektar.

“Sistem pelepasan air JPS tidak teratur yang mana ketika pesawah perlukan air, air tidak ada dan bila tidak perlu, air dilepaskan pula.

“Keadaan itu menyebabkan terdapat tanaman padi yang rosak dan mereput kerana tidak dapat dituai akibat terendam air,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, sebahagian petani didakwa semakin tertekan kerana terpaksa menanggung kerugian apabila hasil daripada penanaman padi yang diusahakan tidak dapat dituai.

“Kita telah beberapa kali membangkitkan isu ini ketika bermesyuarat dengan jurutera daerah, namun belum ada sebarang tindakan proaktif diambil bagi menyelesaikan masalah itu,” ujarnya.

Samsudin MD. DESA menunjukkan keadaan pintu air di Kampung Kubang Jambu, Sungai Petani yang dipenuhi sampah sarap.

Menurutnya, mengikut jadual JPS ketika ini, air akan dilepaskan selepas tempoh tiga bulan.

“Bagi penanaman padi, sepatutnya air perlu dilepaskan selepas dua bulan kerana apabila air belum kering, hasil padi tadi tidak dapat dituai dan menyebabkan padi mereput dan rosak,” jelasnya.

Seorang lagi petani dari Kampung Bukit Meriam, Mohd. Fazirul Ismail, 39, meminta pihak JPS supaya lebih peka dengan jadual penanaman padi petani di sini supaya sistem pelepasan air dapat diseragamkan.

“Pihak JPS seharusnya mengambil perhatian terhadap aduan dan permasalahan yang disuarakan oleh golongan petani seperti kami kerana sektor ini menyumbang kepada pengeluaran beras yang merupakan makanan asas rakyat di negara ini,”ujarnya.

Sementara itu, seorang petani dari Kampung Bukit Berangan, Samsudin Md. Desa, 67, berkata, dia meminta pihak JPS supaya melakukan penyelenggaraan dan pembersihan di kawasan pintu air dan sistem perparitan yang tersumbat akibat sampah sarap.

“Kawasan peparitan di sini perlu diselenggara dengan baik bagi memastikan sistem pengairan ke kawasan sawah padi dapat berjalan lancar,”ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI