MELAKA – Sebahagian ibu bapa khususnya anak mereka yang berada di sekolah rendah dilihat semakin tertekan dengan silibus pembelajaran yang didakwa terlalu ‘advance’ dan kompleks sehingga sukar untuk memberikan sokongan ulang kaji di rumah.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata meluahkan rasa kecewa dengan situasi mencabar itu dan meminta agar Kementerian Pendidikan (KPM) merangka silibus baharu yang lebih sesuai pada tahap penguasaan anak-anak.
Antara silibus yang dimaksudkan termasuklah di bawah subjek Matematik iaitu mengira faedah kompaun (compaunding interest), pengurusan kewangan, nombor dan operasi serta simpanan dan pelaburan bagi murid darjah lima.
Bagi subjek Bahasa Melayu pula adalah topik isi tersurat dan tersirat, membina pantun serta simpulan bahasa yang diajari seawal darjah dua.
Pakar Kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman menerusi Facebooknya kelmarin turut berkongsi kritikan mengenai silibus faedah kompaun yang disifatkan terlalu berat dan hanya sesuai untuk penguasaan pelajar tingkatan empat.
Katanya, topik mengenai kiraan manual itu juga mungkin tidak dikuasai oleh seorang pengurus cawangan bank kerana ketika ini pengiraan itu telah dilakukan secara automatik.
“Saya amat berharap silibus pendidikan benar-benar dikaji semula dengan penglibatan lebih ramai pakar, orang kebanyakan dan mesti juga wakil ibu bapa daripada latar belakang berbeza.
“Kita tidak mahu kononnya ingin cepat mengejar ilmu tahap tinggi lalu dipersiapkan sejak sekolah rendah sehingga memaksa-maksa minda yang belum cukup matang untuk hadam serta faham. Akhirnya, terlepas semuanya dan majoriti anak-anak menjadi fobia dengan Matematik,” tulisnya.
Seorang ibu anak dua, Dian Rafinaz Ahmad Haidir, 37, ketika ditemui Kosmo! berkata, dia berasa tertekan untuk membantu anak lelakinya yang kini berada di darjah empat untuk menguasai silibus Bahasa Melayu.
“Baru-baru ini bila ambil kad laporan pencapaian anak saya dapati dia sedikit lemah dalam subjek Bahasa Melayu dan cuba membantunya di rumah, namun silibus yang diajar memang terlalu sukar untuk difahaminya.
“Sebagai contoh topik isi tersurat dan tersirat, saya rasa tertekan untuk bantu dia memahami struktur ayat dimaksudkan, malah ada juga silibus yang saya sendiri keliru,” katanya.
Ujarnya, susulan itu dia sedang cuba berhubung rapat dengan para guru untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan mengenai pencapaian anaknya dan keperluan menghantar ke kelas tuisyen.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Norfarhana Samsuri, 36, pula memberitahu, dia berasa kecewa apabila tidak dapat membimbing dua orang anaknya yang berada di darjah tiga untuk menyelesaikan permasalahan pecahan.
“Soalan-soalan pecahan ini diberikan dalam struktur ayat yang memerlukan kemahiran berfikir untuk membentuknya menjadi bentuk lazim.
“Ini memang berbeza dengan cara pembelajaran 20 tahun lepas yang lebih mudah apabila soalan lazim telah diberikan secara terus, saya jadi keliru dengan soalan diberikan sehingga tidak dapat mengajar anak-anak,” katanya.
Ujarnya lagi, dia tidak dapat menghantar anak-anaknya ke kelas tuisyen memandangkan mereka perlu ke sekolah agama pada sesi petang dan menghadiri kelas mengaji pada waktu malam.
Bagi seorang pekerja kedai serbaneka, Siti Noraini Jamil, 36, berkata, dia langsung tidak dapat memberikan sokongan kepada dua anaknya yang berada darjah lima dan enam untuk mengulang kaji subjek matematik kerana kaedah yang diguna pakai ketika ini lebih kompleks.
Sebelum ini tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, memang anak-anak sudah sedikit keciciran kerana pembelajaran dibuat secara dalam talian, sekarang dah sekolah seperti biasa tetapi mereka susah nak faham.
“Saya nak bantu tetapi saya sendiri tidak faham cara pengiraan mereka, bukan lah macam dulu sistem pinjaman nombor sebelah, bila jawapan salah anak-anak pula merajuk kerana malu dengan rakan-rakan mereka,” katanya.

Di George Town, seorang penjawat awam, Juliana Mutalib, 42, berkata, dia buntu memikirkan nasib dua anaknya yang bersekolah di tahun 2 dan 5 kerana masih belum mencapai tahap pembelajaran yang memuaskan.
“Pelbagai kaedah telah dibuat semata-mata mahu melihat perubahan cemerlang dua anaknya termasuk menghantar ke kelas tuisyen setiap dua kali seminggu serta memberi makanan tambahan untuk kecergasan minda.
“Saya sampai tahap sudah pasrah melihat keadaan anak bongsu yang masih belum mengenal huruf meskipun sudah berada di tahun 2. Hantar ke tuisyen pun sudah, makan suplemen pun saya bagi, dia tetapi tidak tunjuk perubahan ke arah mengenal huruf dan menghafal.
“Abangnya di tahun 5 juga masih kurang lancar membaca dan belum dapat menghafal darab untuk subjek Matematik. Dalam usia sebegini, boleh dikatakan dia sudah ketinggalan agak jauh berbanding rakan seusianya yang lain.
“Saya dan suami cuba luangkan masa untuk ajar mereka tetapi bentuk pengajaran itu tidak sama dengan apa yang diajar oleh guru, kami tiada kemahiran mendidik meskipun berpuluh kali mengulangi video pendidikan di laman sosial,” katanya.
Jelas Juliana lagi, dia menyedari keadaan berlaku terhadap kedua-dua anaknya itu tahun lalu sejurus sesi persekolahan bermula ketika pasca pandemik Covid-19.
Sementara itu, seorang lagi penjawat awam, Ainuul Rashid, 43, pula memberitahu, dua anaknya yang bersekolah di tahun 3 dan 5 juga kini berdepan masalah sama sehingga menjejaskan rekod pembelajaran di dalam kelas.
“Saya harap Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan kelas pemulihan berterusan kepada murid yang mengalami masalah kurang pembelajaran di sekolah dan bukannya bersifat sementara dalam tempoh setengah jam atau kurang dua jam sebelum sesi pembelajaran bermula.
“Kami ibu bapa menyokong penuh perlaksanaan kelas khas tersebut demi masa depan anak-anak yang belajar di sekolah rendah.” ujarnya.
Semalam, akhbar Kosmo! melaporkan silibus pembelajaran yang padat dan keberadaan murid yang terlalu ramai di dalam sesebuah kelas menjadi faktor utama pelajar kurang cemerlang di sekolah.
Situasi itu menyebabkan ramai ibu bapa mengeluh apabila keputusan peperiksaan anak-anak mereka yang berada di sekolah rendah tidak begitu memberangsangkan. – KOSMO! ONLINE














