fbpx

Jenazah pendaki Mera Peak Nepal selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mawardah di pusara arwah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit di Sungai Pasir, Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI – Jenazah pendaki, Hazlami Ahmad Nizam, 33, yang meninggal dunia di pergunungan Mera Peak, Nepal pada Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit di Sungai Pasir, di sini pada pukul 5 petang tadi.

Jenazah Allahyarham Hazlami tiba di Masjid Muhibbudin, Sungai Pasir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 3 petang tadi untuk disembahyangkan.

Terdahulu, ahli keluarga, saudara dan kenalan berkesempatan melihat wajah arwah buat kali terakhir sebaik tiba di masjid berkenaan sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Turut mengiringi jenazah ialah bapanya, Ahmad Nizam Damiri, 65, dan kakak sulungnya, Nur Liyana, 35, bersama kira-kira 200 ahli keluarga dan kenalan Allahyarham.

Sepupu arwah, Shahidah Nailul Morad, 37, berkata, arwah seorang yang sangat baik, berbudi bahasa serta menghormati orang tua.

“Arwah memang sukakan aktiviti mendaki ini dan sering bersama kawan-kawannya melakukan aktiviti itu termasuk di dalam negeri dan di beberapa negara luar.

“Kami tidak tahu secara lengkap bila dia pergi ke Nepal untuk misi pendakian ini dan hanya mendapat perkhabaran dia meninggal pada tengah hari Khamis lalu,” katanya yang ditemui di Masjid Muhibbudin pada petang tadi.

Menurut Shahidah, arwah meninggalkan seorang isteri, Nur Farhah Ismail, 33, seorang ahli farmasi dan tiga anak iaitu Mawardah, 6; Muhammad, 4, dan Munawarah, 1.

Katanya, pemergian arwah sangat memberi kesan kepada isterinya yang kini hamil 26 minggu dan dijangka bersalin pada Januari tahun depan.

“Kehilanganya amat dirasai oleh kami sekeluarga kerana sikap dan sifatnya yang terlalu baik terutama dengan ahli keluarga terdekat.

“Namun begitu, kami reda dengan ketentuan ini dan berharap arwah ditempatkan bersama mereka yang mendapat keredaan Allah,” ujarnya yang merupakan jurucakap bagi keluarga arwah.

Akhbar sebelum ini melaporkan Hazlami, kakitangan Petronas Chemicals, Gebeng, Kuantan, Pahang dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai aktiviti mendaki di Mera Peak, Nepal pada ketinggian 5,700 meter (m) dari aras laut.

Allahyarham dilaporkan berasa tidak sihat sebelum meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat yang dijalankan kematian bekas mahasiswa Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu berpunca daripada serangan akut gunung. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI