fbpx

44 premis dikendali warga asing diarah tutup serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warga asing yang ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan rasmi dalam Ops Tebah, di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, semalam. - Foto DBKL

KUALA LUMPUR – Sebanyak 44 premis dikendalikan warga asing diarah tutup serta-merta dalam operasi bersepadu, Ops Tebah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekitar Jalan Kenanga, di sini semalam.

DBKL dalam kenyataan hari ini berkata, operasi tersebut dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Sebanyak 217 premis membabitkan kedai menjual pakaian, beg, aksesori telefon bimbit, peralatan komputer, rokok elektronik (vape) dan aktiviti lain diperiksa.

“DBKL menutup serta-merta 44 premis dikendalikan oleh warga asing di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan mengeluarkan 51 notis kompaun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata kenyataan itu, antara kesalahan termasuk berniaga tanpa lesen, pekerja warga asing dan melanggar syarat lesen dibawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Dalam pada itu, seramai 85 pekerja dan pengendali premis warga asing diperiksa yang mana 29 daripadanya ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 22 warga Bangladesh, Indonesia (3), Pakistan (3) dan Indonesia (1) kerana gagal kemuka dokumen pengenalan diri menerusi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan selepas ini terus kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan @ pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan,” katanya.

Selain itu, pihak SSM telah mengeluarkan 92 notis kompaun pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang berkaitan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016 ke atas pemilik perniagaan dan syarikat.

Bagi pihak JPN pula, 42 semakan dan teguran terhadap individu serta pengendali perniagaan berkaitan penggunaan kad pengenalan yang sah berdaftar atau meragukan menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI