KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menganjurkan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Tahun 2023, di ibu negara pada hari ini.
Program tersebut dipengerusikan oleh Menterinya, Datuk Ewon Bendedick.
Beliau berkata, program tersebut memfokuskan tentang hala tuju pembangunan gerakan koperasi negara.
“Ia juga bertujuan untuk mempertingkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
“Mesyuarat juga membincangkan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada pembangunan gerakan koperasi agar terus kekal relevan sebagai penyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara,” katanya selepas merasmikan program tersebut.
Antara yang hadir ialah barisan pengurusan tertinggi Kuskop, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang memegang portfolio Koperasi, wakil gerakan koperasi, ahli akademik dan industri.
Selain itu katanya, beberapa dasar koperasi bagi menambah baik tadbir urus juga akan dilancarkan pada Khamis ini. – KOSMO! ONLINE














