fbpx

Lelaki pecah masuk kedai makan, larikan tabung derma RM300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar video di aplikasi X memaparkan seorang lelaki memecah masuk kedai dan membawa lari tabung dalam kejadian di Ulu Tiram, Johor Bahru, Jumaat lalu.

JOHOR BAHRU – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang memecah masuk sebuah premis kedai makan dan melarikan lima tabung derma dianggarkan berjumlah RM300 dalam kejadian di Ulu Tiram, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pemilik kedai tersebut yang berusia 57 tahun tampil membuat laporan polis petang tadi.

Katanya, pihaknya turut telah mengesan satu video tular dimuat naik melalui media sosial aplikasi X berkait rakaman video individu melakukan jenayah curi di dalam premis.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 1.10 pagi pada Jumaat lalu di sebuah restoran di kawasan Ulu Tiram.

“Barang-barang yang telah dicuri suspek adalah lima tabung berisi wang derma yang dianggarkan bernilai RM300,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Terdahulu, tular di aplikasi X rakaman video berdurasi dua minit 20 saat kejadian curi dalam premis kedai makan terbabit.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 14 tahun.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah ini boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat kanan ASP Hapizee Zulkarnain Md Puzi di talian 0127532276/ 07-3864222 bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI