fbpx
Merancang kehamilan dapat meningkatkan kualiti hidup wanita, pasangan dan anak-anak. – GAMBAR HIASAN

Dua anak sahaja untuk B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Golongan B40 terutama yang tinggal di bandar-bandar besar dengan kos sara hidup tinggi sesuai untuk memiliki antara seorang hingga dua orang anak sahaja.

Pakar kewangan dan ­hartanah, Dr. Azizul Azli Ahmad berkata, bagi golongan M40, bilangan anak yang sesuai adalah maksimum empat orang, manakala golongan T20 pula tiada had bilangan anak.

Menurutnya, kesesuaian bilangan anak mengikut kategori tersebut diambil kira atas faktor kos sara hidup, kemampuan kewangan, rumah yang didiami dan jenis pekerjaan.

“Tanggapan bahawa ‘anak itu rezeki’ menjadi punca pasangan tidak mengawal jumlah kelahiran dan tidak mengambil kira ‘saiz poket’ mereka.

“Sudah tiba masa masyarakat memahami konteks sebenar ke­nyataan ini ketika kos sara hidup menjadi cabaran hebat bagi kebanyakan pasangan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dr. Azizul memberitahu, sebenarnya pakar-pakar kesihatan juga telah lama menyarankan supaya setiap keluarga merancang kehamilan.

Katanya, setiap pasangan perlu bijak merancang demi masa depan anak-anak, bukan sekadar melahirkan zuriat tanpa ‘henti’.

“Beberapa negara maju telah menunjukkan trend kadar kelahiran menurun berikutan mula ada kesedaran terhadap kepen­tingan merancang.

“Faktor perubahan pola kerja, jenis pekerjaan, kesihatan mental dan kos sara hidup antara faktor yang dikenal pasti ramai ibu bapa kini mula mengehadkan jumlah anak,” ujarnya.

Kata beliau, Jepun pada tahun lalu mencatatkan kematian seramai 1.2 juta orang dan kelahiran baharu hanya 800,000 penduduk.

“Begitu juga negara Eropah lain, kadar kelahiran menurun. Antara faktor penurunan ini ke­rana ramai pasangan mula menja­rakkan tempoh kahwin dan tidak mahu ada ramai anak.

“Generasi hari ini hanya ada satu ke dua anak sahaja berban­ding generasi sebelumnya iaitu tiga ke empat, manakala generasi ibu bapa kita empat hingga enam orang anak,” katanya.

Di Malaysia ujarnya, tindakan sama juga boleh dipraktikkan atas faktor kualiti hidup dan ekonomi yang sama.

“Pola dan budaya mungkin berbeza, tetapi saya bersetuju ia turut dipraktikkan oleh masyarakat kita atas faktor ekonomi yang sama. Kalau anak seorang nak menabung pun masih tak mampu, macam mana nak ada anak lagi?

“Perlu ambil kira kos pendidikan dan membesarkan anak serta perubahan gaya hidup. Ruang kediaman juga perlu diambil kira sebelum menambah bilangan anak sama ada selesa atau tidak,” ujarnya.

Kosmo! pada 27 September lalu melaporkan, ramai pasangan muda yang baru berkahwin khususnya di Lembah Klang memilih untuk menangguhkan hasrat memiliki cahaya mata ekoran terbeban de­ngan peningkatan kos sara hidup selain komitmen bekerja.

Menurut mereka, kehidupan yang penuh mencabar selain keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini perlu dijadikan panduan dalam setiap perancangan rumah tangga termasuk dalam hal berkaitan anak.

Rata-rata pasangan muda mengakui, pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan yang diperoleh mereka ketika ini masih belum mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan dan simpanan, lebih-lebih lagi sekiranya memiliki cahaya mata yang ramai.

Berita berkaitan: Orang muda gaji bawah RM5,000 tangguh dapat anak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN