fbpx

Krisis Orang Asli Kelantan mangsa pencerobohan tidak terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Kerajaan negeri dan Pusat digesa menyelesaikan krisis haiwan liar yang semakin memuncak di kawasan penempatan Orang Asli.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian dalam memastikan keselamatan Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman terjamin.

Katanya, cerita berkaitan krisis hidupan liar dengan manusia semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini dan Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman merupakan golongan yang menjadi mangsa.

“JKOAK percaya krisis antara hidupan liar dan manusia yang semakin meruncing ini adalah disebabkan oleh kemusnahan ekosistem alam yang disebabkan kegiatan pembalakan dan pembukaan ladang mega di kawasan Ulu Kelantan.

“Situasi itu dibimbangi akan menjadi semakin parah apabila Projek Empangan Sungai Nenggiri siap dibina kelak. Keadaan itu pastinya menyebabkan kawasan hutan semakin merosot.

“Situasi yang sama dapat dilihat berlaku di Kampung Sau, Pos Bihai apabila kawasan hutan sekitar kampung masyarakat Orang Asli digondolkan untuk aktiviti pembalakan yang akhirnya juga menyebabkan kehilangan nyawa Orang Asli,” katanya.

Katanya, pembukaan hutan secara tidak terkawal bukan ha­nya menyebabkan krisis hidupan liar dan manusia, tetapi ia turut menjejaskan bekalan makanan masyarakat Orang Asli apabila kebun mereka menjadi mangsa serangan gajah liar.

Katanya, terdapat juga kes yang melibatkan kubur Orang Asli yang diceroboh oleh hidupan liar seperti beruang yang berlaku di Kampung Dakoh, Pos Bala baru-baru ini.

“Kami bimbang sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan segera. Tekanan yang dihadapi oleh Orang Asli boleh menyebabkan mereka bertindak di luar jangka selepas ini.

“Selaku wakil penduduk Orang Asli, JKOAK mendesak kerajaan negeri menghentikan kelulusan kawasan pembalakkan, perladangan atau projek mega,” ujarnya.

Menurut Mustafa, beliau menggesa agar undang-undang berkaitan seperti akta perhutanan dan hidupan liar dikaji semula memandangkan terdapat percanggahan di dalam kedua-dua undang-undang itu.

“Percanggahan ini dapat dilihat dengan jelas dengan kedudukan istimewa kerajaan negeri dalam memberi kebenaran bagi mengusahakan hasil kawasan tanah berhutan seperti yang nyatakan di dalam Akta 313, Perhutanan Negara 1984.

“Kerajaan Persekutuan pula memainkan peranan dalam memastikan kelangsungan kewujudan hidupan liar seperti yang termaktub dalam Akta 716, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 1972,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI