fbpx

Pengendali aplikasi TikTok akan dipanggil jelas isu iklan, kandungan – KKD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memanggil pengendali aplikasi TikTok bagi memberi penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan iklan dan kandungan di platform terbabit.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diambil selepas pihaknya menerima beberapa aduan daripada gedung perniagaan, orang awam serta pihak media sendiri yang terkesan dengan platform terbabit.

Tambahnya, kementerian juga akan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan agensi berkaitan untuk meneliti asas langkah Kerajaan Indonesia mengharamkan aplikasi TikTok Shop di negara terbabit.

“Kita akan panggil pihak TikTok dalam masa terdekat kerana kerjasama pengendali aplikasi itu terhadap pihak kerajaan tidak memuaskan ketika ini.

“Sebagai contoh, penyebaran isu virus X di aplikasi itu yang mencecah lebih 1.5 juta tontonan dan apabila kita panggil orang (pengendali) TikTok, mereka tidak ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian Program Pembersihan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Fahmi berkata, pihaknya juga akan meneliti isu personal data yang digunakan aplikasi berkenaan kerana terdapat beberapa perkara yang tidak jelas berhubung isu berkenaan.

“Kita tidak tahu data pengguna pergi ke mana. Sama juga yang berlaku di Indonesia mereka tidak tahu, siapa meneliti perilaku, apa yang kita like, apa kita kongsi.

“Ada beberapa isu wajar pihak kementerian lihat semula termasuk aspek kepenggunaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, aplikasi berkenaan juga turut memberi kesan kepada industri media di negara ini terutamanya berkaitan iklan.

“Banyak syarikat berbelanja untuk iklan di TikTok, bukan di media (organisasi media tempatan). Ia memberi kesan kepada industri tempatan termasuk organisasi media,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan TikTok secara rasmi menamatkan perkhidmatan beli-belah online di Indonesia bagi mematuhi peraturan baharu yang dikuatkuasakan oleh pemerintah untuk melindungi perniagaan tempatan.

Malah, aplikasi itu tidak membenarkan proses transaksi e-Dagang di TikTok Shop Indonesia dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI