fbpx

Marrybrown buka cawangan di Kemboja, Uzbekistan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengasas Marrybrown, Datuk Lawrence Liew bersama isteri menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Keindahan Raya Bersama MB 2024 di Ibu Pejabat Marrybrown, Johor Bahru malam tadi. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Jenama makanan segera tempatan, Marrybrown Sdn. Bhd. bakal memasuki pasaran antarabangsa baharu dengan membuka cawangan mereka di Kemboja dan Uzbekistan, tahun ini.

Ketua Pegawai Kewangan Marrybrown, David Liew berkata, pembukaan cawangan di kedua-dua negara itu menunjukkan imej dan jenama Marrybrown semakin dikenali di pasaran antarabangsa.

“Bagi pasaran tempatan, kami bakal membuka lima cawangan baharu masing-masing di Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang dan Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Keindahan Raya Bersama Marrybrown di Ibu Pejabat Marrybrown, di sini malam tadi.

Tambah David Liew, restoran makanan segera itu telah membuka cawangan baharu di Lahad Datu, Sabah dan Melbourne, Australia baru-baru ini.

“Jumlah keseluruhan restoran makanan segera kami di Malaysia dan pelbagai negara antarabangsa termasuk Singapura, Maldives, Sweden dan India adalah lebih daripada 500 cawangan,” katanya.

Sementara itu, berhubung program berkenaan, selain meraikan kakitangan dan ahli keluarga, pihaknya turut berkongsi kegembiraan dengan lebih 50 kanak-kanak dari pusat Asuhan Kanak-Kanak Sari Saujana, Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh dan Bengkel Terlindung Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea.

“Sempena Ramadan dan Syawal tahun ini kami telah mengagihkan 20,000 bubur lambuk dan 20,000 burger ayam di cawangan-cawangan Marrybrown seluruh negara selain turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan golongan B40,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI