JARI-JEMARI lelaki itu ligat meramas helaian daun tar bersama kelapa parut sambil ditambah air sedikit demi sedikit.
Apabila air cukup pada paras sesuai, hasil ramasan yang bertukar menjadi santan tadi direbus selama beberapa minit sehingga pecah minyak.
Setelah selesai, hampas kelapa akan dilurut keluar daripada daun-daun tar, sebelum dijemur di bawah sinaran matahari.
Apabila daun-daun tersebut cukup kering, Mohd. Izani Mohd. Noor akan menggulung daun tersebut sebelum menyimpannya.
Daun-daun itu akan digunakan sebagai pipit (bahagian paling atas) yang berperanan penting dalam menentukan kelunakan serunai Kelantan.
Menurut lelaki berusia 40 tahun itu, petua pembuatan pipit tersebut bertujuan memberi ketahanan tinggi kepada alat muzik tradisional berkenaan.
“Ketika nak guna untuk pembuatan serunai, saya akan basahkan daun tadi dan melipatnya dalam bentuk kipas.
“Salah satu fungsi merebus daun ini dengan santan adalah supaya ia berminyak bagi menahan air liur daripada masuk ke dalam pipit ketika ditiup.
“Ini secara tidak langsung dapat memberi lebih ketahanan kepada serunai tersebut,” katanya yang menetap di Kubang Kerian, Kelantan.
Untuk makluman, Mohd. Izani merupakan salah seorang daripada enam orang pembuat serunai Kelantan yang masih aktif dalam pembikinan alat muzik tersebut.
Serunai Kelantan sering digunakan ketika persembahan wayang kulit Kelantan, makyung, menora, tari asyik, rebana ubi, gendang silat dan main puteri.
Selain pipit, serunai Kelantan turut terbahagi kepada copong (bahagian paling bawah), batang, penampung mulut dan nali.
Bagi memudahkan proses ukiran copong, Mohd. Izani sering menggunakan kayu lembut seperti teras nangka.
Antara jenis ukiran copong paling popular dipilih pelanggannya adalah ukiran pucuk rebung.
Kayu lebih keras seperti merbau, rengas, sira tanduk, halban dan ciku pula digunakan untuk batang serunai.
Penggunaan kayu keras lebih sesuai pada batang serunai kerana ia akan menghasilkan bunyi lebih lunak.
Sementara itu, nali diperbuat daripada kepingan tembaga atau kepingan logam yang telah dilayur dengan api.
Nali merupakan penghubung antara pipit dengan batang serunai yang berbentuk kon.
Turut diperbuat daripada tembaga atau kepingan logam adalah penampung mulut, tetapi bentuknya bulat.
Penampung mulut terletak pada bahagian atas iaitu antara pipit, nali dan batang serunai.
Biarpun melakukan pembuatan serunai secara sambilan, namun pekerja di hospital kerajaan itu mampu menyiapkan satu batang serunai Kelantan dalam masa tiga hari.
“Saya memang pemain serunai Kelantan sejak zaman sekolah lagi.

“Cuma kekangan kewangan menyebabkan saya belum mampu buka bengkel pembuatan serunai.
“Setelah ada duit, saya laburkan untuk membeli mesin dan alat-alat berkaitan.
“Kini, sudah sedekad saya melakukan kerja ini secara sambilan,” jelasnya.
Serunai Kelantan terbahagi kepada dua iaitu serunai ibu yang bersaiz lebih kurang 50 sentimeter (cm) dan serunai anak bersaiz lebih kurang 35cm.
Kedua-dua jenis serunai tersebut memiliki tujuh lubang pemetik dan satu lubang jerit di bawah, namun hasil lontaran bunyinya adalah berbeza.
Serunai ibu menghasilkan pic muzik yang lebih rendah, kedengaran kasar dan sesuai untuk iringan lagu tanpa vokal.
Sementara serunai anak pula menerbitkan pic muzik tinggi serta sesuai untuk iringan lagu berserta vokal seperti cerita tok dalang.
Tambah Mohd. Izani, biarpun serunai Kelantan hanya diamalkan di bumi Serambi Mekah itu, namun ramai pelanggannya datang dari luar Kelantan.
“Kebanyakan pelanggan saya datang dari Selangor, Sabah, Brunei, Singapura dan Terengganu.
“Semuanya hasil pemasaran berbentuk mulut ke mulut.
“Saya juga ada pelanggan dari Eropah. Namun, ia diuruskan oleh orang tengah kerana saya kurang arif berkenaan hal-hal penghantaran barang besar,” katanya.
Lebih mengagumkan, pelanggan Mohd. Izani tidak terhad kepada orang Melayu, malah dia memiliki pelanggan berbangsa India dan Cina.
Semuanya hasil perkongsian di laman TikTok serunaikelantan yang kini telah meraih 13,700 pengikut.
Salah seorang peminat serunai Kelantan ialah B. Nicholas dari Johor yang jatuh hati dengan alunan merdu alat muzik itu ketika mendengar lagu gendang silat Kelantan.
Sejak itu, dia mula mencari pembuat serunai Kelantan, sebelum terjumpa akaun TikTok Mohd. Izani.
Menurut pemuda berusia 24 tahun itu, Mohd. Izani banyak memberi pendedahan tentang serunai sehingga dia tertarik untuk belajar muzik tradisional dengan lebih mendalam.
“Saya belajar teknik-teknik bermain serunai di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bersama Pak Anuar.
“Setakat ini, saya sudah mampu memainkan enam lagu dan mempersembahkannya ketika permainan silat di majlis perkahwinan,” jelasnya.
Senada dengan Nicholas adalah anak muda berbangsa Cina, Lee Ming Xiang yang turut meminati seni serunai Kelantan setelah menonton wayang kulit di media sosial.
Demi merealisasikan impiannya untuk mempelajari seni itu, ibu Ming Xiang sanggup menunggang motosikal dari Pasir Mas ke Kubang Kerian untuk berjumpa dengan Mohd. Izani.
Ujar remaja berusia 18 tahun itu, dia banyak menghabiskan masa mempelajari sendiri cara bermain serunai Kelantan sambil dibimbing secara minimum oleh Mohd. Izani.
Kini, dia mampu memainkan muzik ringkas Tahun Baru Cina dengan menggunakan serunai Kelantan.
“Saya mula meminati serunai Kelantan sejak tingkatan empat dan ibu sangat menyokong minat saya itu.
“Rakan-rakan saya pun pelik bagaimana saya seorang berbangsa Cina boleh meminati seni muzik tradisional Melayu,” katanya sebelum menutup bicara.














