fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: Isu akademik Khairul Azhari jadi persoalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Azhari di Pusat Penamaan Calon dekat Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO

HULU SELANGOR – Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Suat enggan mengulas dakwaan berhubung kelayakan akademik dimiliki beliau yang menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial.

Khairul Azhari berkata, beliau sebaliknya ingin menumpukan kepada strategi dan kempen Pilihan Raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

“Saya tidak mahu komen tentang dakwaan itu. Saya nak fokus pilihan raya. Saya akan jawab kemudian,” katanya selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini hari ini.

Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial mempersoalkan kelayakan akademik Khairul Azhari dimana beliau mempunyai ijazah sarjana tanpa dianugerahkan ijazah sarjana muda.

Selain itu, Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar dilaporkan turut mempertikai taraf pendidikan pemangku Ketua Bersatu itu yang disifatkan terlampau hebat kerana memiliki diploma dan ijazah sarjana dalam tempoh dua tahun.

Menerusi poster pilihan raya, difahamkan Khairul Azhari memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya pada 2019 manakala menerima Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang pada 2021.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu pendidikan Khairul Azhari tidak menjadi isu kerana beliau telah mengikuti kursus-kursus tertentu.

“Soal samada diiktiraf oleh kementerian itu bukan menjadi pertimbangan mana-mana pelajar ataupun mereka yang mengambil kursus tersebut.

“Bagi mereka yang sudah ada pengalaman berkerja biasanya dia akan mengambil tempoh kursus eksekutif dalam tempoh yang singkat untuk beri tumpuan dalam bidang tertentu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI