fbpx

Bomba Kedah selamatkan RM154 juta harta benda daripada terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awang Hidzel (tiga dari kanan) melihat demontrasi anggota memecah dan memotong pintu kereta menggunakan peralatan khas pada Program Bomba bersama Komuniti Yan di Yan, hari ini.

YAN – Sebanyak RM43.4 juta kerugian harta benda akibat kebakaran telah direkodkan di negeri ini sepanjang tempoh bermula Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, jumlah tersebut melibatkan 2,280 panggilan berkaitan dengan kebakaran yang diterima pihaknya sepanjang tempoh berkenaan.

“Mengikut statistik kes kebakaran yang paling tinggi dicatatkan ialah membabitkan kebakaran terbuka dengan 1,015 kes diikuti dengan kebakaran bangunan dan isinya sebanyak 308 kes,kebakaran kenderaan (161) kes,mesin dan alat pekakas (47) kes,gerai (2) kes,gas dan kimia (27) kes serta lain-lain kebakaran (720) kes.

“Daripada jumlah itu tujuh individu ditemui maut, 26 cedera dan 28 lagi mangsa berjaya diselamatkan,” katanya yang ditemui pada Program Bomba bersama Komuniti Yan di pekarangan Kompleks Perniagaan Guar Cempedak di sini hari ini.

Menurut Awang Hidzel, bagaimanapun tindakan pantas pihaknya memadam kebakaran berjaya menyelamatkan harta benda bernilai lebih RM154 juta.

“Antara sebab utama kebakaran ialah berpunca daripada elektrik dan struktur bangunan yang lama dan usang yang terdiri daripada bahagian kayu atau papan di atas manakala bata di bahagian bawahnya.

“Sehubungan itu pemilik bangunan perlu sentiasa memastikan bangunan itu diselenggara termasuk melakukan pendawaian elektrik yang sempurna bagi mengelak kebakaran dan meragut nyawa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menghadapi kesukaran untuk membuat pemeriksaan jika bangunan itu milik persendirian berbanding gudang,pejabat atau pasar raya yang boleh dikawal.

Sementara itu Awang Hidzel turut berkata, tujuan program itu diadakan ialah untuk mendekatkan masyarakat dengan JBPM khususnya dengan Bomba Komuniti yang ditubuhkan
sebagai mata dan telinga pihaknya.

“Dengan adanya 31 pasukan Bomba Komuniti di negeri ini telah turut membantu memadam kebakaran lebih awal sebelum ketibaan pihak kita,” katanya.

Pada program sehari suntuk itu juga,pengunjung yang datang berpeluang menyertai aktiviti bersama anggota bomba termasuk memadam api menggunakan alat pemadam api,pertandingan membentang hos,pertandingan keselamatan kebakaran,pertandingan memakai baju api serta pelbagai aktiviti sukan yang lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI