fbpx
Saroop dimahkotakan sebagai Miss World Malaysia 2023 di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini. Mengakui pernah mengalami depresi selepas bapanya meninggal dunia, jelitawan ini mengasaskan Unmask Yourself atas cetusan pengalaman peribadi.

Miss World Malaysia 2023 Saroop Roshi ‘ratu psikologi’ tangani isu bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

‘Beauty with a purpose’. Itu kata-kata yang sesuai diberikan kepada wanita yang baru sahaja dimahkotakan Ratu Cantik Dunia Malaysia (Miss World Malaysia) 2023, Saroop Roshi.

Memiliki raut wajah jelita, wanita berlatar belakang pendidikan dalam jurusan psikologi itu nyata mempunyai misi ampuh yang hendak diperjuangkan dalam hidupnya.

Anak kelahiran Perak yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi di sebuah institusi pengajian tinggi swasta itu bergiat aktif memberikan kesedaran pencegahan bunuh diri dalam kalangan remaja di Malaysia.

Berbekalkan tekad yang tinggi mendidik masyarakat tentang pentingnya pencegahan bunuh diri melibatkan remaja, itulah yang mendorong jelitawan berusia 25 tahun itu menubuhkan sebuah organisasi sendiri dikenali sebagai Unmask Yourself sejak tahun 2019.

Mesra disapa Saroop, anak bongsu daripada dua beradik itu menyatakan dirinya sangat menitikberatkan perihal kesihatan mental kerana bimbang ia boleh mendorong seseorang kepada tindakan membunuh diri.

Malah, Saroop berpendapat dengan dinobatkan sebagai pemenang Miss World Malaysia 2023 itu mampu membuka ruang lebih luas untuk dirinya menyalurkan infomasi berguna buat segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Gadis Punjabi itu dimahkotakan Miss World Malaysia 2023 pada hujung Ogos lalu dalam pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu. Lebih indah, kemenangannya turut disaksikan Miss World 2021, Karolina Bielawska dari Poland.

Berkongsi permulaan penubuhan Unmask Yourself, Saroop menyatakan dia mula mengesan terdapat simptom-simptom depresi dalam dirinya sendiri pada usia 20 tahun selepas mendiang bapanya meninggal dunia.

“Organisasi ini sangat dekat dengan diri saya. Sebagai seorang pelajar psikologi, saya sendiri dapat melihat simptom depresi dalam diri sendiri selepas ayah meninggal dunia.

“Saya melalui sendiri perasaan mahu membunuh diri, namun syukur dapat mengatasinya. Oleh itu, timbul kesedaran dalam diri saya untuk beri penekanan kepada orang awam khususnya remaja bahawa hal ini tidak boleh dipandang mudah.

“Menerusi organisasi yang saya tubuhkan ini, pelbagai pandangan, nasihat dan langkah penyelesaian dari pelbagai perspektif dapat dijana.

“Sebenarnya kita dapat mencegah bunuh diri ini dengan adanya ilmu serta kefahaman dalam kalangan masyarakat itu sendiri.

“Kita seharusnya melakukan sesuatu apabila mengetahui ada kalangan ahli keluarga atau rakan-rakan yang mengalami depresi bagi menghindari perasaan ingin membunuh diri,” katanya ketika ditemui Aura usai pertandingan itu.

SAROOP aktif mendekati remaja dalam memberi kesedaran tentang kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri.

Bercerita lanjut mengenai organisasinya itu, Saroop yang dijangka menamatkan pengajiannya pada hujung tahun ini menyatakan, pada peringkat awal, organisasi diusahakannya itu hanya beroperasi secara dalam talian tetapi kini organisasi itu turut berkhidmat dengan Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Psikologi (CPCS) yang ditubuhkan oleh Jabatan Psikologi Universiti HELP.

Saroop berkata, menerusi kerjasama berkenaan, pihaknya membantu remaja perempuan yang mempunyai simptom depresi mendapatkan pemeriksaan kesihatan mental.

“Ia termasuklah remaja perempuan yang menghadapi gangguan, penderaan dan pengabaian.

“Selain pemeriksaan, mereka juga bakal menyertai 10 kali sesi terapi berkumpulan.

“Semua proses ini diyakini membolehkan remaja-remaja ini mendapatkan mental yang lebih sihat sekali gus mengelakkan tindakan bunuh diri,” ujarnya yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam pertandingan berlangsung di Sabah itu. Saroop yang dimahkotakan Miss World Malaysia 2023 oleh Miss World Malaysia 2022, Wenanita Angang turut membawa pulang beberapa hadiah iringan termasuk wang tunai RM15,000 dan barangan kemas.

Tempat kedua diraih gadis dari Pulang Pinang, Natalie Ang, manakala tempat ketiga gadis kelahiran Sabah, Shu Wen Chai.

Saroop bakal mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World peringkat dunia yang berlangsung tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN