JIKA hendak berbicara mengenai lirik lagu yang boleh merosakkan akhlak, perkara itu bukan lagi isu yang baru.
Sejak dahulu, ada sahaja lagu yang berani mengambil risiko mengenengahkan lirik dan paparan negatif dalam karya ciptaan mereka.
Bagi mereka, perkara itu merupakan kebebasan untuk melempiaskan idea dan jiwa yang sebaliknya meninggalkan dampak negatif kepada pendengar.
Isu paling terbaharu ialah mengenai lirik lagu Malampagi nyanyian Saixse yang dikatakan mempunyai elemen negatif sehingga mampu mendorong pendengar terjebak dalam hal-hal negatif termasuk maksiat.
Bukan hanya lirik, video muzik (MV) naskhah yang dilabel sebagai lagu ‘healing’ itu turut menerima kecaman netizen selepas hampir enam bulan ditayangkan dalam platform media sosial.
Malah, pengarah MV tersebut yang juga aktor Nadhir Nasar mempertahankan hasil kerjayanya yang baginya mengetengahkan realiti kehidupan hari ini.
Hakikatnya dalam isu ini, tiada pihak salah mahupun betul kerana pada akhirnya semuanya terpulang kepada setiap individu membuat penilaian sendiri.
Memetik pandangan penulis lirik ternama, Datuk Habsah Hassan, setiap penulisan lagu harusnya mempunyai mesej positif yang boleh diserap oleh setiap lapisan umur dan masyarakat.
“Secara umum, kita berkarya untuk masyarakat dan mesej serta bahasa yang digunakan seharusnya boleh difahami oleh semua pendengar.
“Apabila dengar sesebuah lagu, sedikit sebanyak akan meresap ke dalam minda dan jiwa pendengar,” katanya penulis lirik lagu Salam Terakhir nyanyian Allahyarham Sudirman Arshad.
Dia menegaskan setiap penulis lagu juga harus mengambil kira pelbagai aspek termasuk mesej yang hendak disalurkan menerusi penghasilan sebuah karya seni dan bukannya sekadar ‘tangkap muat’ sahaja.
“Lirik atau lagu yang dihasilkan tidak boleh ‘syok sendiri’ atau hanya difahami segelintir kelompok pendengar sahaja.
“Setiap kisah dalam sebuah lagu seperti perihal kehidupan, perpisahan atau dilamun cinta selalunya sangat dekat dengan pendengar.
“Elakkan buat lirik hanya untuk diri sendiri. Kalau kita hasilkan sesuatu untuk orang, sesebuah karya tersebut mampu untuk bertahan lama,” jelasnya.
Baginya, lirik lagu bukan hanya sekadar lantunan perkataan tetapi tanpa sedar ia adalah cara komunikasi antara pelantun dengan pendengar.
“Lagu adalah satu alat komunikasi, kalau hanya satu arah, kesannya juga akan jadi terbatas.
“Carilah mesej yang orang mudah faham tetapi jangan sewenang-wenangnya guna perkataan yang kurang sesuai sebab menulis lirik adalah aktiviti seni.
“Suka atau tidak, perlulah memanfaatkan keindahan dan kekayaan bahasa kita dalam setiap penulisan,” tuturnya.
Sementara bagi penulis lirik yang lagu-lagunya popular sekitar era 90-an, Saari Amri pula melahirkan rasa kecewa kerana kebanyakan lirik lagu yang dihasilkan pada hari ini tidak layak digunakan dalam sebuah lagu.
“Sebagai penulis lirik memang kecewa melihat lambakan karya yang tiada makna, malah ada yang tidak layak digelar sebagai lagu pun.
“Kalau memang bagus, saya boleh terima tetapi kalau nak bagi orang dengar dan suka, biarlah hasilkan yang berkualiti.
“Hasilkan lirik lagu biarlah memberi sepenuh jiwa, bukannya sekadar minat atau dijadikan bahan untuk berseronok semata-mata,” ujarnya.














