BAGAI sebuah rakaman yang kekal dalam kotak ingatan, Konsert Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia meninggalkan 1001 emosi kepada khalayak penonton.
Seperti diucapkan pengasas band ikonik asal Surabaya, Indonesia itu, muzik adalah makanan jiwa insan yang mampu menyuntik energi serta aura luar biasa.
Bukan bersifat hiburan semata-mata, setiap nukilan yang digubah semula menjadi ‘orkestra’ pada malam tersebut mempunyai kisah indah tersendiri.
Repertoire pilihan ramai tersebut juga dikatakan sebagai paparan momen kembara kumpulan terbabit sejak ditubuhkan pada 1986.

Kolaborasi genius
Sudah sedia indah, kolaborasi julung kali bersama 54 pemuzik orkestra Malaysia membuatkan repertoire persembahan di Axiata Arena, Bukit Jalil Jumaat lalu mencetuskan nuansa bunyi gah dan mega.
Makanan jiwa dalam format orkestra seperti disebut Ahmad Dhani nyata membuai rasa serta emosi sekitar 7,000 Baladewa Baladewi yang bagai larut dalam penyatuan simfoni indah karya malar segar yang dipersembahkan.
Sebuah ensembel lengkap diperdengarkan menerusi alunan Bohemian Rhapsody yang dipimpin Ahmad Dhani memanaskan pentas sebagai pembuka tirai, sebelum tugasan tersebut bertukar ke tangan Konduktor Muzik Indonesia, Guntur Nur Puspito yang mengambil alih ruang memimpin pasukan pemuzik orkestra.
Sehari sebelum berlabuhnya konsert di Axiata Arena, Ahmad Dhani memberi pujian melambung terhadap barisan pemuzik orkestra tempatan yang menjadi antara bala tentera muziknya kali ini.

Usai orkestra beraksi, tepat pukul pukul 9 malam, Marcello Tahitoe, 40, atau Ello yang diumumkan sebagai vokalis kumpulan gergasi itu pada Mac 2022 menyampaikan lagu Arjuna dengan penuh semangat.
Mempunyai kelompok peminat tegar, vokalis berimej rambut panjang itu tampil segak menggayakan sut hitam.
Senada format konsert, rata-rata peminat yang hadir juga menyantuni tema ‘eveni dress’ seperti disarankan penganjur berhubung pemakaian. Lelaki bersut atau kemeja hitam, manakala penonton wanita yang rata-rata memilih persalinan berupa gaun persis ke acara formal.
Kali terakhir beraksi di lokasi sama pada September tahun lalu, kehadiran Dewa 19 kali ini turut meraih sorakan tanpa putus.

Empat vokalis padu
Selain Arjuna, orkestra Dewa 19 kali ini memenuhkan durasi konsert dengan 33 lagi dendangan termasuk Aku Cinta Kau Dan Dia, Elang, Sudah, Pupus, Risalah Hati, Selimut Hati sehingga karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Madu Tiga serta seleksi hits sepanjang zaman, My Way.
Malam semakin rancak dengan kemunculan dua lagi tunjang utama grup kesayangan ramai itu iaitu Virzha dan Ari Lasso, seterusnya meningkatkan lagi kehangatan kegilaan peminat.
Virzha yang baru menyertai Dewa 19 dua tahun lalu, sekali gus menjadi anggota termuda menyampaikan enam lagu yang menonjolkan kuasa vokal serak-serak basahnya.

Antara seleksi yang menggandakan lagi tumpuan peminat kepada sosok berusia 30 tahun itu adalah Pangeran Cinta, Dewi, Lagu Cinta dan Kosong.
Paling menonjol tentu saja kemunculan Ari Lasso yang disifatkan antara tulang belakang terhadap Dewa 19 bersandarkan suara emasnya.
Penampilan pejuang kanser limfoma yang kian bertenaga selepas bebas sel barah tahun lalu semakin menyuntik momentum persembahan.
Apabila Cintakan Membawamu, Persembahan Dari Syurga, Dua Sejoli, Satu serta Kirana diperdengarkan, khalayak seakan-akan terus dipukau dek alunan syahdu muzik yang dipersembahkan.
Apa pun, paduan format orkestra bagi repertoire di penghujung konsert menerusi Roman Picisan, Kangen dan Separuh Nafas yang membariskan keempat-empat vokalis hebat band mencetuskan momen magis.

Tabik hormat wajar juga didedikasikan buat tiga penyanyi tempatan, Amir Masdi yang beradu suara dengan Ello menyampaikan Bohemian Rhapsody.
Pujian sama patut diberikan kepada Shila Amzah yang berduet bersama Jaclyn, Begitu Salah Begini Benar biarpun lagu itu belum mesra dengan khalayak pendengar Malaysia.
Apa pun, malam yang menyaksikan susunan muzik indah diserikan lagi penampilan pemain dram mereka, Tyo Nugros apabila dikatakan sebagai penenang mata peminat wanita.
Seperti kedatangan sebelum ini, lelaki yang dikatakan masih belum berumah tangga itu sekali lagi tular dalam media sosial hingga ramai cuba membongkar latar belakangnya.















