fbpx

Sorok dadah RM1.5 juta dalam ‘toto’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis pil kuda yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Taktik licik tiga warga Thailand termasuk seorang wanita menyembunyikan pil kuda dan heroin bernilai RM1.5 juta dalam selimut ‘toto’ terbongkar dalam dua serbuan di Rantau Panjang, di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan pertama dijalankan pada pukul 7.45 malam kelmarin apabila polis merampas 96,00 biji pil kuda bernilai RM1.05 juta.

Menurutnya, serbuan kedua pula dijalankan semalam sebelum berjaya merampas 1.39 kilogram (kg) heroin bernilai RM460,000.

“Dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 31 tahun yang berada atas sebuah motosikal ditahan di kawasan tepi parkir Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan selimut ‘toto’ yang dibawa suspek menemui 96,000 biji pil kuda,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, namun tidak mempunyai rekod lampau.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai hubungan dengan sindiket pengedaran dadah di negeri ini dan kesemua pil kuda itu dipercayai untuk pasaran luar negara.

“Serbuan kedua dijalankan pada pukul 2.45 petang semalam menahan seorang lelaki bersama wanita warga Thailand berusia 41 dan 28 tahun di kawasan pangkalan haram Che Kassim, Rantau Panjang di sini.

“Pemeriksaan terhadap suspek wanita menemui sebanyak 230 botol plastik disyaki dadah jenis heroin yang bernilai RM460,000 di dalam bungkusan selimut ‘toto’,” ujarnya yang memberitahu polis merampas barang kemas dan wang RM11,690.- KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI