fbpx

ACL: JDT pamer belang tewaskan BG Pathum 4-2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arif Aiman muncul wira JDT apabila meledak dua gol pada aksi ACL bertemu BG Pathum sebentar tadi. - Foto ihsan AFC

PETALING JAYA – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan belang sebenar selepas menewaskan wakil Thailand, BG Pathum United 4-2 pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pathum Thani, Bangkok sebentar tadi.

Pada saingan kedua peringkat Kumpulan I itu, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal tuan rumah yang berjaya dihasilkan oleh Victor Cardozo menerusi sepakan penalti pada minit ke-5.

Namun, kegembiraan BG Pathum tidak bertahan lama apabila Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia, Arif Aiman Hanapi menyamakan kedudukan berselang seminit kemudian.

JDT semakin bijak mengatur langkah apabila mendahului saingan menerusi penyerang import sensasi, Bergson da Silva pada minit ke-14 untuk membuatkan penyokong setia kelab Thailand itu tergumam.

Bersambung pada babak kedua, JDT yang dikendalikan oleh Esteban Solari semakin selesa apabila mendahului 3-1 apabila kini giliran pemain tengah, Juan Muniz mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-53.

Bagaimanapun, BG Pathum menghidupkan sisa perjuangan dalam usaha meraih mata berharga apabila Cordozo meledak gol kedua peribadi berselang dua minit kemudian untuk merapatkan kedudukan menjadi 2-3.

Usaha skuad tuan rumah akhirnya sia-sia apabila Arif Aiman kembali melebarkan kelebihan pasukan pelawat dengan gol kedua pada minit ke-78 untuk memastikan keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan JDT kini bangkit untuk meraih tiga mata berharga selepas ditewaskan kelab Jepun, Kawasaki Frontale 0-1 pada aksi pertama peringkat kumpulan bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI