fbpx

17 lembu jadi ‘perangkap maut’ jalan raya ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Penguat Kuasa MDGM menangkap lembu yang berkeliaran di atas jalan raya di sekitar Gua Musang pada minggu lalu. FOTO IHSAN MDGM

GUA MUSANG – Sebanyak 17 ekor lembu berkeliaran bebas yang dikhuatiri menjadi ‘perangkap maut’ kepada pengguna jalan raya di laluan utama di daerah ini ditangkap sepanjang tahun ini.

Setiausaha Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), Ahmad Hamdan Ubaidah berkata, lembu-lembu itu ditangkap menerusi empat Operasi Haiwan Rayau yang dijalankan bermula Januari hingga hujung bulan lalu.

Katanya, terbaharu, sebanyak lapan ekor lembu ditangkap selepas didapati berkeliaran di kawasan jalan raya pada 26 dan 27 September lalu.

“Dua ekor lembu betina ditangkap pada 26 September di kawasan Paloh dan Kampung Meranto dalam operasi bermula pukul 3 petang sehingga pukul 9 malam.

“Operasi bersambung keesokan harinya dengan sebanyak lima ekor lembu betina dan seekor jantan ditangkap di laluan jalan Felda Chiku 2 dan Taman Agropolitan Rantau Manis bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang,” katanya.

Ahmad Hamdan memberitahu, seramai 44 anggota termasuk penguat kuasa MDGM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Veterinar dan Bahagian Penguatkuasaan Negeri Kelantan (BPNK) menyertai Operasi Haiwan Rayau tersebut.

Katanya, pemilik boleh membuat penebusan haiwan tersebut mengikut prosedur tuntutan semula seperti yang ditetapkan dalam masa tujuh hari.

“Kesalahan yang dilakukan oleh penternak lembu dengan membiarkan haiwan mereka berkeliaran di sekitar jalan raya merupakan kesalahan serius kerana boleh mengakibatkan kemalangan nyawa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI