fbpx

Universiti tidak sekat pelajar gagal bayar yuran pengajian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PIHAK universiti awam mempunyai pelbagai saluran untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan meneruskan pengajian mereka. –GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Pelajar yang mempunyai masalah untuk melunaskan yuran pengajian tidak akan disekat untuk meneruskan pembelajaran di universiti awam, malah pelbagai saluran disediakan bagi membantu pelajar asnaf atau mereka yang datang dari keluarga tidak berkemampuan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, pihak universiti sentiasa menjaga kebajikan pelajar asnaf atau mereka yang datang daripada keluarga B40 melalui pelbagai bantuan, antaranya melalui pemberian zakat dan bantuan sara diri secara one-off.

“Di UiTM, pelajar yang tidak berkemampuan boleh memohon bantuan melalui Bahagian Zakat, Sedekah dan Waqaf bermula dari semester satu. Semua bantuan ini boleh dipohon secara dalam talian melalui portal pelajar pada setiap semester sehingga tamat pengajian.

“Pelajar yang mempunyai pinjaman pendidikan yang lain seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan lain-lain juga layak memohon,” katanya.

Ujarnya, pelajar yang tiada tajaan atau tajaan mereka disekat atas sebab pointer semasa pe­periksaan rendah boleh memohon bantuan secara one off bermula semester kedua ke atas untuk melunaskan yuran pengajian masing-masing.

“Manakala, bagi pelajar baharu yang belum menerima apa-apa pinjaman mahupun biasiswa pendidikan, pinjaman kewangan disediakan sebanyak RM500. Pulangan balik bayaran boleh dibuat sebelum semester berakhir,” jelasnya.

Menurutnya, pihak universiti tidak pernah menyekat atau menghalang pelajar dari me­nyambung pengajian hanya di­sebabkan pembayaran yuran semata-mata.

“Benar, ada tempoh bayaran yang perlu dipatuhi, namun pihak universiti masih boleh berbincang dengan pelajar. Mereka sendiri harus memaklumkan perkara ini kepada Timbalan Rektor HEP Kampus Cawangan, Dekan HEP Kolej Pengajian atau Timbalan Dekan HEP fakulti masing-masing.

“Mereka perlu mengisi borang penangguhan bayaran yuran pengajian agar pihak universiti dapat mengesan masalah dan mengambil tindakan melalui unit atau bahagian terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak, Ahmad Wafiy Suhaimi berkata, kebajikan pelajar merupakan antara fokus utama pihaknya dan sebarang bantuan yang disalurkan perlulah dipohon pelajar sendiri.

“Pihak universiti menyediakan pelbagai saluran seperti zakat dan sebagainya untuk membantu pelajar yang mengalami kesukaran bagi menjelaskan yuran pengajian.

“Semuanya terserah kepada inisiatif peribadi pelajar tersebut.

“Kami tidak mampu membantu sekiranya mereka tidak bertanya.

“Di sini (UIAM), kami tidak akan menyekat pelajar daripada meneruskan pembelajaran sekiranya tidak membayar yuran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI