fbpx

Suki, Clift Omar pertama tersingkir All Stars Gegar Vaganza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUKI LOW dan Clift Omar menjadi dua peserta pertama tersingkir dalam konsert mingguan All Stars Gegar Vaganza malam tadi.

SHAH ALAM – Hanya bertahan dua minggu pertandingan, penyanyi Suki Low dan Cliff Umar diumumkan sebagai dua peserta pertama tersingkir pada konsert minggu kedua All Stars Gegar Vaganza (GV10) yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA malam tadi.

Menerusi konsert minggu kedua, juara GV musim ketujuh dan pemenang tempat ketiga GV musim kelapan menjadi dua bintang yang mendapat markah terendah iaitu 53.5 peratus serta 56.5 peratus.

Sementara itu, penyanyi Hady Mirza yang juga juara GV musim keenam muncul sebagai peserta yang menduduki tangga teratas dengan markah sebanyak 79 peratus.

Tempat kedua pula menjadi milik penyanyi yang juara GV kesembilan iaitu Jaclyn Victor dengan markah sebanyak 75.50 peratus manakala Azharina pula berada di tempat ketiga dengan kutipan markah 74.50.

Menurut salah seorang juri, Datuk Syafinaz, persembahan dua peserta itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya pada malam tadi.

“Persembahan mereka berdua bersungguh-sungguh.

“Suki dan Cliff hanya menyanyi tetapi jiwa tidak sampai kepada penonton,” katanya pada sidang akhbar selepas konsert kedua malam ini.

Penyingkiran Suki dan Cliff sekali gus menyaksikan Naqiu, Nikki Palikat, Liza Hanim, Hady Mirza, Azharina, Zamani, Jaclyn Victor dan Noryn Aziz berjaya melangkah ke minggu ketiga.

Sementara, Ayai Illusi, Siti Nordiana, Ezad Lazim, Aliff Aziz, Datuk Aishah, Tomok turut mara ke peringkat seterusnya.

Rancangan popular itu menyaksikan kesemua bintang diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Syafinaz.

Konsert GV10 diacarakan trio pengacara, Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein.

GV10 memperlihatkan persaingan 10 bintang yang terdiri daripada juara-juara GV dari musim pertama hingga kesembilan.

Tambahan enam lagi bintang dipilih berdasarkan undian peminat menjadikan jumlah keseluruhan peserta GV10 adalah seramai 16 peserta.

Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI